PETALING JAYA: Meskipun hanya memegang status Super 500, Kejohanan Badminton Malaysia Masters tetap menyajikan pemain terbaik di seluruh dunia.
Menjelang persiapan yang berbaki 68 hari ke Sukan Olimpik Paris 2024, kejohanan tersebut bakal menjadi medan pemanas badan serta persiapan atlet menjelang temasya Paris.
“Kehadiran Victor Axelsen sebagai pemain nombor satu dunia dan rakan sepasukannya, Anders Antonsen (4), Li Shi Feng dari China (7), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (8) serta Loh Kean Yew dari Singapura (10) akan menghangatkan saingan kali ini.
“Malaysia Masters 2024 mampu menarik pemain terbaik dunia sekali gus menjadi peluang terbaik buat pemain harapan negara, Lee Zii Jia mendapatkan perlawanan kompetitif sebelum temasya terbesar dunia itu berlangsung,” katanya dalam kenyataan terbabit.
Kejohanan edisi lalu menjadi sejarah hitam negara selepas beregu lelaki dan wanita menerusi Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan M.Thinaah-Pearly Tan kedua-duanya tewas di tangan Korea Selatan.
Malaysia Masters tahun lalu menyaksikan HS Pranoy dari India muncul juara perseorangan lelaki, Akane Yamaguchi dari Jepun (perseorangan wanita), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan (beregu lelaki), Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea (beregu wanita) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand (beregu campuran).
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan penjualan tiket bagi kejohanan bertaraf Super 500 itu mendapat sambutan hangat apabila ia laris terjual terutamanya pada peringkat suku akhir hingga final.
Menurutnya dalam satu kenyataan, penjualan tiket terbabit mendapat respon positif membuktikan kejohanan berkenaan bakal menjanjikan pertarungan sengit kelompok 10 pemain terbaik dunia.
“Kita mendapat maklum balas luar biasa menerusi penjualan tiket kerana tiket platinum dan premium untuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan final dan baki tiket dianggarkan tidak banyak lagi” kata Norza dalam satu kenyataan.
Saingan Masters Malaysia 2024 akan membuka tirai bermula 21 hingga 26 Mei ini di Arena Axiata, Bukit Jalil. – UTUSAN











