‘Nak jadi jurulatih, tunggu dulu’

‘Nak jadi jurulatih, tunggu dulu’

Cheong Jun Hoong banyak menghabiskan waktunya bersama keluarga dan belum memikirkan menjadi jurulatih sukan terjun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cheong Jun Hoong bukan asing dalam arena terjun negara berikutan beliau merupakan tonggak ketika mewakili negara menyertai mana-mana kejohanan dan temasya.

Menceburi sukan terjun seawal usia sembilan tahun merupakan titik tolak perubahan besar dalam rutin seharian Jun Hoong sehinggalah membuat keputusan untuk bersara dua tahun lalu.

Selama 22 tahun di kolam renang menyaksikan pelbagai kenangan pahit manis terutamanya kejayaannya memenangi beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu mencipta sejarah negara apabila muncul penerjun pertama memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia, Hungary sekali gus menamatkan dominasi atlet dari China.

Pertama kali membuat penampilan di Sukan Olimpik London 2012 dan sepanjang kariernya Jun Hoong juga beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 dan Olimpik Tokyo 2020.

Daripada tiga penampilannya di temasya tersebut Jun Hoong berjaya membawa pulang pingat perak dan berdasarkan portfolio beliau boleh dianggap sudah layak untuk menurunkan ilmunya kepada atlet pelapis.

Bagaimanapun, Jun Hoong yang mengakui pernah dirisik untuk menjadi jurulatih berkata, beliau masih belum bersedia untuk memegang jawatan tersebut.
Jun Hoong berkata, beliau masih memerlukan masa dan mahu menimba lebih banyak ilmu sebelum bergelar jurulatih.

“Ada beberapa persatuan tanya kepada saya sama ada saya berminat atau tidak untuk menjadi jurulatih. Bagaimanapun, saya fikir saya mahu lakukan sesuatu perkara satu demi satu.

“Benar, saya memang ada impian untuk menjadi jurulatih tetapi saya mahu jadi jurulatih yang boleh hasilkan keputusan bagus. Jadi, saya perlukan masa.

“Atlet yang bagus tidak semestinya boleh jadi jurulatih yang hebat kerana kejurulatihan adalah perkara berbeza kerana ia meliputi pelbagai aspek,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Jun Hoong yang kini menjalani latihan industri bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, masanya banyak dihabiskan bersama keluarga.

Katanya, selepas bersara beliau berasa gayat apabila setiap kali naik ke atas platform di venue pertandingan

“Sekarang saya kerap membawa keluarga keluar berjalan. Saya dapat lakukan apa yang saya tidak dapat buat sewaktu menjadi atlet negara dahulu.

“Ada negeri lain panggil saya untuk melihat venue pertan­dingan dan apabila saya naik ke atas platform saya berasa gayat dan apabila difikirkan kembali bagaimana saya boleh lompat dari ketinggian yang sama sebelum ini.

“Itu semua memerlukan latihan konsisten dan saya selepas bersara memang tinggalkan terus sukan ini,” katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam sukan terjun, anak kelahiran Perak itu terpaksa melakukan dua pembedahan utama bagi merawat kecederaan lutut yang dialaminya.

“Pada 2008 saya buat pembedahan di lutut kiri dan pada 2018 kedua-dua lutut saya perlu dibedah. Sebelum itu, pada 2003 tangan saya terkehel dan perlu dibedah. Jadi saya jalani tiga pembedahan sepanjang bergelar atlet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini