‘Notis Bersatu tidak ada makna, kami abaikan’

‘Notis Bersatu tidak ada makna, kami abaikan’

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal akan mengabaikan notis diterima­nya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau menerima notis tersebut semalam dan menyifatkan ia tidak mempu­nyai apa-apa makna.

“Saya sudah menerima surat notis itu dan ia tidak membawa apa-apa makna dan saya tidak akan menjawabnya dalam tempoh 14 hari yang diberikan.

“Saya nak tunggu apa tindakan yang akan diambil selepas tempoh 14 hari nanti,” katanya selepas melawat rumah mang­sa banjir di Kampung Jelutong, Changkat Iboi di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai surat dikeluarkan Setia­usaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada semua ahli parlimen parti itu yang mengumumkan soko­ngan kepada Perdana Menteri.

MEROSAKKAN

Menurutnya, tindakan Bersatu itu tidak betul dan merosakkan fikiran rakyat serta mengganggu ahli parlimen yang terlibat dalam menjalankan tugas di kawasan masing-masing.

“Saya telah merujuk kepada peguam serta bekas hakim mengenai notis tersebut dan memaklumkan terdapat ke­salahan kerana mereka sengaja membuat gangguan dan menghasut rakyat “ katanya.

Jelas beliau, semua tujuh wakil rakyat iaitu enam ahli parlimen dan seorang ahli dewan undangan negeri (ADUN) sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sama ada perkara itu dibawa ke saluran perundangan bagi memberi kesedaran kepada Bersatu.

Katanya, jika Bersatu berada pada landasan yang betul dalam tindakannya, parti bawa isu itu ke mahkamah atau kepada Speaker dan tidak perlu dipanjangkan.

“Bagi saya mereka hanya membeli masa dalam ‘game’ ini.
“Saya juga percaya selepas ini ramai lagi ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang akan memberikan sokongan kepada Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan turut berpendirian sama tidak akan melayan tuntutan Bersatu.

Suhaili Abdul Rahman

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, beliau tidak akan membalas surat arahan tersebut yang dihantar kepadanya semalam.

Selain Syed Hussin dan Suhaili, turut terlibat ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Mengulas lanjut, Suhaili berkata, beliau juga tidak akan mengosongkan kerusi tanpa keputusan Speaker Dewan Rakyat malah akan terus memperjuang kerusinya itu jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

“Saya bukannya menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Saya mengalahkan calon BN, PH, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM),” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×