Papan tanda pantun Melayu di sepanjang laluan ke Gunung Kinabalu bukan sekadar memberi kata-kata semangat kepada pendaki malah, ia turut membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencipta rekod tersendiri.
Usaha meletakkan papan tanda pantun di puncak Gunung Kinabalu memberi ruang kepada DBP Sabah mencipta rekod baharu meletakkan papan tanda pantun tertinggi di Malaysia.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah DBP Sabah, Aminah Awang Basar berkata, program melestarikan puisi melayu di Taman Kinabalu ini merupakan antara pencapaian membanggakan, bukan hanya DBP Sabah sebaliknya, DBP secara keseluruhannya.
“Ini kali pertama kita bawa pantun sebagai satu warisan budaya yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2020 untuk kita paparkan kepada masyarakat di tapak warisan seperti Taman Kinabalu.
“Kedudukan pantun di Taman Kinabalu ini sangat tepat. Inilah pencapaian terbaik DBP dalam usaha melestarikan puisi tradisional Melayu dengan berlatar belakang alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, di dalam pantun mempunyai pelbagai peranan bukan hanya mendidik masyarakat tetapi juga terselit pengajaran dan teladan di dalamnya.

Jika dilihat pantun dikategorikan sebagai puisi tradisional jadi masyarakat kurang mengambil berat tentang pantun sebagai salah satu elemen yang boleh dijadikan platform memberi pengajaran.
Ini antara sebab pantun diletakkan di sepanjang laluan pendakian ke Gunung Kinabalu untuk memberi semangat kepada pendaki.
“Kita meletakkan pantun di setiap pondok untuk memberi semangat kepada pendaki di sepanjang laluan pendakian dari pondok pertama hingga pondok terakhir sebelum sampai ke puncak Gunung Kinabalu.
“Malah, saya sendiri terlibat secara langsung mendaki puncak Gunung Kinabalu pada 8 Mei lalu sambil mempromosikan pantun yang dipasang di setiap laluan pendakian.
“Apabila sampai di satu-satu pondok, kami bertemu dengan pendaki dan meminta mereka membaca pantun yang diletakkan di situ, seterusnya kami memberi cenderamata kepada pendaki.
“Itu program yang kami lakukan sepanjang pendakian ke Gunung Kinabalu,” katanya.
Menurut Aminah, DBP turut menyediakan tafsiran pantun dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan pelancong asing memahami makna di sebalik pantun yang dipasang di setiap pondok tersebut.
Beliau berkata, program sebegitu mungkin akan dikembangkan ke kawasan lain di bawah Taman-Taman Sabah (TTS) seperti yang disebut oleh Pengarahnya, Dr. Maklarim Lakim di Pulau Bohey Dulang, Semporna.
TTS memang berhasrat untuk mengembangkan program tersebut ke beberapa lokasi pelancongan lain yang berada di bawah pengurusan TTS. Jadi, mungkin pada masa akan datang, DBP dan TTS akan berbincang untuk memasang papan tanda pantun di pulau-pulau di bawah TTS.
Kata beliau, selain membantu melestarikan pantun melayu, ia juga boleh memberi nilai tambah kepada destinasi pelancongan.
Sementara itu, Ketua Unit Promosi dan Penataran DBP Sabah, Ezura As’ad Azam berkata, pihaknya dalam perancangan untuk mencipta Malaysia Book of Records (MBOR) untuk papan tanda pantun tertinggi di Malaysia.

Namun, perkara ini masih dalam proses dan terpulang kepada Taman-Taman Sabah (TTS) untuk menguruskannya kerana papan tanda pantun itu berada di dalam kawasan TTS.
Beliau berkata, sebenarnya projek Pemerkasaan Pantun di Taman Kinabalu itu dilaksanakan pada 2021 namun, atas pelbagai faktor pelaksanaannya tertangguh dan ia hanya dapat dipasang di sepanjang laluan pendakian ke Gunung Kinabalu pada 6 hingga 9 Mei lalu.
“Sebanyak 10 papan tanda pantun yang kandungannya memberi kata-kata semangat kepada pendaki untuk sampai ke puncak telah dipasang.
“Ini merupakan projek pertama seumpamanya untuk memasang papan tanda pantun di kawasan tertinggi di negara ini.
“Usaha sebegini membantu kami untuk melestarikan pantun yang merupakan khazanah warisan Melayu. Selain memperkasa pantun, ia juga mampu memberi nilai tambah untuk tarikan pelancongan,” katanya.
Menerusi pertandingan mencipta pantun itu, DBP Sabah telah menerima 134 penyertaan untuk pantun empat kerat. Menurut beliau, pantun-pantun yang terpilih itu dicipta oleh orang awam menerusi pertandingan mencipta pantun dan nama penciptanya turut ditulis pada papan tanda yang diletakkan di sepanjang laluan pendakian.
Selain memberi pengiktirafan kepada pencipta, usaha meletakkan pantun di laluan pendakian itu juga mampu membantu memperkasa pantun dalam kalangan pendaki tempatan.
Bunga Rafflesia menjamu mata
Besar merah tampak tersendiri
Timpohon ataupun Via Ferrata
Laluannya mencabar siapkan diri.
Nulu Nabalu mencakar awan
Serata dunia masyhur namanya
Puncak tertinggi mencabar lawan
Pendaki ulung tiada gentarnya
Pahlawan Bajau tangkas berkuda
Meredah badai tanpa lelah
Malim Gunung setia waspada
Jiwa kental tak kenal kalah
Belahan kayu dibuat gabang
Bawa berdagang penuh sebaluk
Janganlah layu semangat juang
Dakianmu cemerlang puncak kautakluk.
Ke tamu Tuaran mencari mangga
Ternampak kundur diapit tarap
Waima cabaran datang menduga
Pantang berundur walau sederap.
Bahagia bersanding dua sejoli
Gong kulintangan rancak dipalu
Jatuh dan bangkit berulang kali
Gagahkan langkah menawan Kinabalu.
Cantik ditatap ukiran serimpak
Digaya sunti baju bersulam;
Pendaki tetap cekal menapak
Seraya nikmati khazanah alam. – UTUSAN










