Hukum bagi mana-mana pihak yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji secara pembiayaan atau pinjaman menerusi institusi kewangan adalah harus mengikut Islam asalkan tiada riba.
Secara umumnya, aspek kemampuan merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi oleh mana-mana individu yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji.
Oleh demikian, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka gugurlah kefardhuan haji ke atasnya disebabkan kekurangan tersebut.
—————————————————————————————————-
Azamhari Mohamood
Umur: 56 tahun
Pekerjaan: Guru/Mudir Sekolah Rendah lslam Attaqwa Beseri
Pendidikan:-
1983-1998 : Universiti Umim Islamiyah War Arabiyah, Damsyik, Syria.
1988-1992 : Pasentran Pendidikan Islam Darul Ulun, Tanah Merah Peusangan Bireuen, Acheh.
1985-1988 : Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Kedah.
1980-1985 : Sekolah Menengah Agama Alawiyah, Arau, Perlis.
————————————————————————————————-
Mudir Sekolah Rendah lslam Attaqwa Beseri, Azamhari Mohamood, 56, berkata, namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk membuat pembiayaan atau pinjaman maka diharuskan baginya untuk melaksanakan ibadah haji tersebut.
“Berdasarkan rujukan Bayan Li Al-Haj-Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, cara ini hanya dibolehkan bagi mereka yang yakin mampu untuk membayar semula pinjaman yang telah dibuatnya sekembalinya dari Tanah Suci.
“Oleh itu, umat Islam perlulah mempunyai ilmu yang cukup berkaitan dengan ibadah haji sama ada dengan mendalami ilmu ibadah dan hukum mengerjakan haji atau merujuk dengan orang yang arif dengan ibadah tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmahari berkata, hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan adalah dibolehkan dengan syarat ia tidak mempunyai unsur-unsur riba.
Katanya, ini secara jelas dinyatakan menerusi Surah al-Baqarah: ayat 275, : “Dan Allah SWT telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
“Selain itu, pelaksanaan ibadah haji melalui pembiayaan atau pinjaman ini dibolehkan sekiranya peminjam mempunyai pendapatan melebihi sara diri dan orang tanggungannya untuk melunaskan hutang serta perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah haji.
“Justeru, barang siapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan sehariannya, maka kewajipan untuk melaksanakan ibadah haji tergugur daripadanya sekali pun dia mengambil pinjaman daripada institusi kewangan,” katanya.
Ujarnya, pinjaman yang dilakukan itu juga perlu dibuat atas dasar ingin menyegerakan perintah Allah SWT dalam melaksanakan tuntutan rukun Islam semata-mata.
“Rasulullah SAW bersabda, ‘barang siapa yang ingin menunaikan ibadah haji maka bersegeralah untuk menunaikannya kerana tidak diketahui bila masa sakit itu menyerang seseorang atau kenderaannya hilang ataupun datang keperluannya yang lain.” Riwayat Ibn Majah (2883),” katanya.
Tambahnya, menunaikan haji adalah wajib bagi mereka yang berkuasa iaitu berupaya melakukan ibadah haji sama ada secara sendiri atau pertolongan orang lain.
“Berkuasa sendiri yang dimaksudkan di sini adalah mampu menyediakan perbelanjaan menunaikan ibadat untuk diri sendiri dan nafkah secukupnya untuk ahli keluarga,” katanya. –UTUSAN










