JEMPOL: Seorang suri rumah yang mahu mencari pendapatan dengan melakukan tugasan ulasan (review) penginapan hotel berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM15,000 selepas terpedaya dengana tawaran kerja itu yang diperoleh di Facebook.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 33 tahun itu tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau petang semalam selepas berasa tertipu dalam urusan tawaran kerja dari syarikat lynxoasis.com melalui iklan di Facebook dengan urusan selanjutnya dilakukan menerusi WhatsApp.
“Mangsa diterangkan perlu membuat tugasan review dan pembayaran ke dalam aplikasi yang diberikan dengan pulangan komisyen antara enam hingga 10 peratus berdasarkan jumlah wang yang dibayar semula kepada akaun mangsa.
“Pada awalnya mangsa membuat 14 kali transaksi dan menerima pulangan wang dalam akaun banknya. Sehingga tugasan yang ke-15 didapati aplikasi mempunyai masalah dan mangsa diminta bayaran lain untuk dilengkapkan bagi menerima komisyen semula.
“Mangsa telah membuat transaksi bagi tujuan tersebut dan berasa tertipu selepas masih perlu membuat pembayaran dalam amaun tertentu. Dalam kes ini, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM15,850,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Dalam kes berlainan, Chang Hook berkata, seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga kontraktor telah tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol malam semalam selepas terperdaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud.
Menurutnya, mangsa telah melihat dan mencari iklan pinjaman wang Facebook dan kemudian dihubungi satu nombor WhatsApp dan diminta untuk membuat transaksi untuk proses pinjaman wang.
“Mangsa membuat dua kali transaksi ke akaun yang diberikan sebanyak RM6,450 untuk pinjaman wang sebanyak RM30,000. Bagaimanapun, wang pinjaman masih tidak diperoleh dan diminta untuk membuat pembayaran lagi RM5,500,” katanya.
Kedua-dua kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.-UTUSAN.











