ALOR SETAR: Hukuman penolakan tiga mata terhadap Kedah Darul Aman FC selesai dilunaskan susulan kemenangan sulung Liga Super ketika menentang PDRM FC, sebelum ini.
Kini skuad Sang Kenari ditagih menghadiahkan kemenangan kedua sekali gus meraih tiga mata pertama yang berharga meskipun berdepan Selangor FC di gelanggang lawan, hari ini.
Ketua jurulatih Kedah, Nafuzi Zain mahu setiap pemain yang diturunkan dapat fokus sepenuhnya berikutan perlawanan itu merupakan satu lagi aksi sukar.
“Perlawanan kedua ini juga sukar buat kami yang sekali lagi beraksi di tempat lawan kerana Selangor memiliki skuad yang lebih lengkap di setiap posisi berbanding kami selain percaturan baharu yang disusun jurulatih, Nidzam Jamil.
“Namun, kami juga sedang mempersiapkan pasukan pada tahap yang terbaik dengan sasaran untuk memburu tiga mata pertama pada musim ini selepas tiga mata yang kami perolehi sebelum ini selesai ditolak,” katanya.
Sementara itu, Nafuzi memaklumkan penyerang utama Kedah, Milos Gordic mengalami sedikit kecederaan di bahagian dahi, namun keadaan pemain dari Serbia itu tidak membimbangkan.
“Saya berharap dia sempat pulih untuk bersama pasukan dalam aksi sengit ini,” katanya.
Ekoran itu, Nafuzi juga dalam perancangan menyenaraikan seorang lagi penyerang import dan penjaring terbanyak Piala MFL musim lalu, Ebenezer Assifuah mengikut keperluan perlawanan berkenaan.
“Ia bergantung pada keadaan semasa kerana kita tahu Assifuah perlu bersedia sepenuhnya dan dia juga baru menjalani latihan sejak dua hari lalu tapi jika dia bersedia dan keadaan semasa itu memerlukan, mungkin dia diturunkan pada perlawanan itu nanti,” ujarnya.
Sementara itu, kapten Sang Kenari, Sony Norde menganggap kemenangan 1-0 ke atas PDRM memberi suntikan semangat buat semua pemain bagi menghadapi Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Motivasi kemenangan yang kami dapat pada aksi pertama sangat penting untuk kami hadir dengan lebih yakin menentang Selangor. Kami jangka bakal menerima tentangan dan cabaran lebih sengit sepanjang perlawanan itu nanti,” katanya.-UTUSAN










