INSIDEN kanak-kanak dan bayi didera hingga mati, meruntun hati sesiapa sahaja yang membacanya.
Tubuh comel anak kecil itu bagaikan langsung tidak bererti.
Tangisannya yang sedang mengerang kesakitan juga bagaikan tidak didengari lantaran kerasukan.
Itu belum lagi kes-kes jenayah melibatkan ibu bapa yang maut di tangan anak kandung sendiri. Apalah kesalahan dilakukan hingga nyawanya diragut sekejam rupa tanpa ada belas kasihan.
Mana hilang rasa kasih dan sayang yang seharusnya ada dalam hati insan bernama manusia. Memang benarlah, apabila ikutkan rasa marah dan perasaan sudah dikuasai syaitan, segala-gala dilakukan tanpa sedar.
Namun benarkah ia angkara syaitan atau dek kerana minda sudah rosak dek ketagihan najis dadah?
Baru-baru ini Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon
melaporkan sejumlah 65 peratus penagih dadah di negara ini dikesan menggunakan dadah sintetik
ataupun perangsang (stimulan) jenis amphetamine.
Apa yang membimbangkan, penggunaan dadah sintetik itu lebih memudaratkan berbanding dadah
organik kerana ia menyebabkan masalah mental.
Dalam erti kata lain, penjenayah yang melakukan kekerasan, sanggup berbuat sedemikian kejam kerana
mental rosak dan langsung tidak sedarkan diri sewaktu melakukan sesuatu kekejaman atau jenayah.
Malangnya, bagi yang mengambil dadah jenis baharu ini, kos merawat masalah ketagihan serta kepulihan penagih syabu dan pil kuda ini juga, jauh lebih tinggi dan memakan masa.
Saya pernah menemubual seorang doktor yang menjelaskan, bahaya dadah kerana kuasanya yang
boleh merosakkan otak sekaligus meragut rasa simpati individu yang mengambilnya.
Sebab itulah dalam kebanyakan kes, penagih tidak sedarpun apa yang dilakukannya kerana ada urat
sarafnya rosak.
Begitupun, antara persoalan yang tidak pernah ada titik nokhtahnya ialah mengapa dadah ini sentiasa
ada permintaannya dan tidak pernah surut dalam masyarakat sejak bertahun lamanya di dunia ini?.
Adakah sebab ia mudah didapati atau individu sebenarnya tidak kenal apa itu dadah? Bila sudah ambil,
dan ketagih, baharulah perasan ubat atau pil yang kita bergantung hidup selama ini adalah dadah?
Hebat evolusi dadah kadangkala kita turut menjadi keliru sama ada seseorang itu penagih atau berdepan masalah kemurungan.
Saya kira sudah sampainya semua ahli masyarakat mengambil peduli memastikan persekitaran tempat tinggal, keluarga, institusi pendidikan dan tempat kerja bebas daripada ancaman dadah.
War-warkan kepada umum mengenai bagaimana rupa dadah sebab ramai yang hanya tahu sebut tetapi
tidak tahupun rupanya bagaimana. Tak kenalpun.
Ambil tahu apa yang orang terdekat kita makan, ambil atau guna.
Saya percaya mana-mana individu yang mengambil dadah, tidak ada niat pun untuk menjadi penagih, sebaliknya memerlukan seseorang untuk membantunya mencari jalan keluar daripada ketagihan. Dan orang itu adalah kita.
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










