Pengarah syarikat didakwa tipu Tan Sri RM1.5 juta

Pengarah syarikat didakwa tipu Tan Sri RM1.5 juta

YUSMADI Yusof (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menipu pelaburan dalam projek pembekalan bahan-bahan keperluan Petronas. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah sebuah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi pertuduhan menipu seorang tokoh perniagaan berhubung projek pembekalan bahan-bahan keperluan Petronas melibatkan wang berjumlah RM1.5 juta, tahun lalu.

Yusmadi Yusof, 43, didakwa menipu Tan Sri Dr. Mohd Khamil Jamil, 68, bahawa tertuduh akan mendapatkan keuntungan dalam projek pembekalan bahan-bahan keperluan Petronas Kemaman, Terengganu, sedangkan dia mengetahui bahawa tiada sebarang surat kelulusan diberikan oleh pihak Petronas.

Perbuatan tertuduh mendorong Mohd. Khamil yang juga bekas pengerusi bukan eksekutif sebuah syarikat senaraian awam menyerahkan wang berjumlah RM1.5 juta kepada tertuduh yang mana wang itu tidak akan diserahkan sekiranya lelaki itu tidak memperdayakannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Damansara Heights di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin manakala Yusmadi yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia mengalami strok dan perlu membeli ubatan.

“Hari ini (semalam) adik yang akan jamin. Saya hanya mampu membayar jaminan RM20,000 hingga RM30,000 sahaja kerana perlu menanggung keluarga,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 21 Jun untuk serahan dokumen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×