Perkongsian doktor, Prof. Dr. Wan Hazmy Che Hon yang terpaksa melakukan pembedahan menggunakan gergaji memotong kaki pesakit ketika menjalankan misi kemanusiaan, meninggalkan kesan di hatinya.
Sejak detik itu, Dr. Fatimah Zaharah Rosli berazam untuk mengikuti jejak langkah doktor berkenaan menjalankan kerja sukarelawan dengan menyumbang tenaga dan kemahiran sebagai doktor.
“Dr. Wan yang ketika itu baru pulang daripada misi Kemanusiaan di luar negara datang ke sekolah saya di Labu, Negeri Sembilan.
“Beliau kata kalau tidak potong, jangkitan merebak dan pesakit boleh meninggal dunia. Jadi, dia terpaksa guna peralatan yang ada iaitu gergaji untuk potong kaki pesakit,” katanya kepada Seri.
Cerita itulah pencetus semangatnya untuk terbabit dalam kerja-kerja kemanusiaan.
Lebih menguatkan azamnya apabila mengetahui Dr. Wan adalah suami kepada sepupu ibunya.
Dr. Fatimah mula membuat kerja-kerja sukarelawan dengan Mercy Malaysia sejak di sekolah menengah lagi.
“Setiap hari, saya ke pejabat Mercy di Jalan Ampang, menaiki komuter atau LRT dari rumah di Subang.
“Mak bagi RM10 saja. Pergi dan balik tambang sudah RM8. Biasanya saya berpuasa atau kumpul duit baki untuk makan. Kadangkala tumpang sukarelawan lain balik ke Subang,” katanya.
Dr. Fatimah diberi tugas membantu kerja-kerja pentadbiran di pejabat itu. Kebetulan ketika itu Mercy sedang menjalankan projek ke Afghanistan. Jadi, antara tugasnya adalah pergi ke Kedutaan Afghanistan dan beratur untuk mendapatkan kertas kerja mereka.
Kadangkala beliau turut bertanggungjawab melakukan kerja pentadbiran yang mudah seperti memasukkan data dan membuka booth.
“Selepas dapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Ain Shams, Mesir pada 2008, saya meneruskan aktiviti sukarelawan di sana.
“Saya menyertai Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia. (I-Medik). Ketika itu, i-Medik baru ditubuhkan dan promosi sedang dijalankan oleh pelajar senior untuk mencari ahli,” katanya.

Di Mesir kerja sukarelawan diteruskan dengan isu Palestine. Ketika itu, Aman Palestine juga baharu ditubuhkan dan beliau hanya terbabit dengan pelbagai program dijalankan dan berjaya mengumpul banyak dana.
Belajar Hafazan
Dalam kesibukan mengulangkaji pelajaran dan menjalankan kerja sukarelawan, Dr. Fatimah sempat mengambil kursus menghafaz al-Quran selama tiga tahun.
“Sebenarnya saya sahut cabaran seorang ustazah yang mencadangkan saya mengambil kursus menghafaz al-Quran. Ustazah selalu cakap, saya ada kelebihan otak yang cerdas dan gunakan ia untuk menghafaz al-Quran.
“Menghafaz mampu meningkatkan fokus dalam melakukan sesuatu dan membantu saya mengingati apa yang dipelajari. Saya mula menghafaz dengan juzuk 30 dahulu. Kemudian beralih ke juzuk 29 dan seterusnya sehingga berjaya menghafaz kesemua 114 surah,” katanya.
Latih anak berdikari
Tamat pengajian di Mesir pada 2009, beliau bertemu jodoh dengan pengurus sebuah NGO dan memutuskan untuk mendirikan rumahtangga.
Selepas melahirkan anak sulung, beliau pulang ke tanahair untuk berkhidmat wajib selama tiga tahun sebagai houseman pada 2011.
“Saya dihantar bekerja di Pekan, Pahang selama dua tahun sebelum melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2013. Saya sambung pengajian untuk sub kepakaran di UKM dalam perubatan dalaman dan diletakkan dari satu jabatan ke satu jabatan sehingga 2021. Kini saya menjalani latihan di Hospital Serdang, Selangor selama tiga tahun dan ini adalah tahun pertama,” katanya.
Tinggal di Seremban, setiap hari beliau berulang-alik ke Hospital Serdang dan perlu keluar rumah seawal pagi dan pulang hampir senja. Jadi, persefahaman dengan suami penting demi keharmonian keluarga.
Ujarnya, jika suami tidak memberikan sokongan, memang sukar untuk wanita berkerjaya sepertinya menguruskan keluarga dan terpaksa bergelut dengan perasaan sebagai ibu dan isteri serta tanggungjawab di tempat kerja.

“Saya bersyukur, suami banyak membantu menguruskan anak, menghantar dan ambil dari sekolah. Pembantu rumah pula memasak. Hujung minggu saya pula masak. Kalau ada majlis istimewa, saya masak seperti buat kek harijadi dan sebagainya.
“Anak-anak memang dilatih supaya berdikari dan tidak terlalu cerewet termasuk dalam soal makan supaya tidak terlalu bergantung dengan ibu bapa atau pembantu rumah. Kalau kami tiada kerana bekerja, mereka tidak kelam-kabut,” katanya.
Berbakti di Syria
Sewaktu kecil lagi beliau mengimpikan untuk mengunjungi negara seperti Benua Afrika kerana sering melihat keadaan di negara-negara berkenaan di dalam berita.
Namun selepas berkahwin, hasratnya itu terpaksa dilupakan termasuk menyertai misi kemanusiaan di luar negara bersama badan NGO yang disertainya, tambahan pula sukar untuknya mendapat cuti bekerja.
Bila berlaku gempa bumi di Syria pada 6 Februari 2023, terlintas di fikirannya, itulah peluang terbuka untuknya ke negara itu bagi menyumbang tenaga dan kepakarannya.
“Saya tanya suami bolehkah hendak pergi ke sana. Suami cadangkan saya bertanya mana-mana NGO. Kebetulan pada masa itu I-Medik mengadakan kerjasama dengan Aman Palestine menghantar misi perubatan. Alhamdulillah rezeki saya pergi,” katanya.
Pada April lalu, beliau dan seorang lagi pakar perubatan I-Medik bersama kumpulan media berangkat ke Jandiris dan Atmeh melalui Turkiye bagi menjalankan misi kemanusiaan di negara malang itu.
“Sampai di Jandiris, keadaan memang kelam kabut lagi. Kawasan itu baharu sebulan di timpa gempa bumi. Malah sejak 12 tahun mereka hidup dalam peperangan. Penduduk Syria juga ditolak duduk di atas bukit, dekat sempadan Turkiye.
“Kebanyakan rakyat Syria tiada tempat tinggal. Mereka cuba ke Turkiye dengan menaiki bot tetapi ada yang tenggelam. Bila sudah terlalu ramai hendak melepasi pintu masuk ke Turkiye, mereka berkhemah di situ, lama-lama jadi perkampungan perlarian,” katanya.
Ceritanya, kawasan utara Syria atau Jandiris, memang terdapat kawasan perumahan penduduk asal. Bagaimanapun selepas gempa bumi, kebanyakan rumah roboh dan penduduk asal terpaksa duduk dalam khemah.
Di Jandiris, mereka berurusan dengan NGO, tempatan, Ataa Humanitarian Relief Association (ATAA) sebagai rakan strategik Aman Palestine.
Selain menyalurkan bantuan makanan, NGO itu turut membangunkan kawasan dengan membina rumah batu, sekolah dan masjid yang berfungsi sebagai pusat komuniti dengan sumber air dan klinik.
“Isu kesihatan memang meruncing kerana tiada cukup kemudahan untuk merawat pesakit. Jumlah pesakit pun bertambah.
“Pada musim sejuk, tiada isu cirit birit tetapi bila memasuki musim panas, ini paling merisaukan sebab punca air tidak cukup. Bakteria lebih cepat merebak dan makanan cepat rosak kalau cuaca panas,” katanya.
Lebih sukar, tempat mereka tinggal di atas bukit, jauh dari pusat bandar serta tiada kemudahan seperti sekolah.
“Ada sebuah sekolah yang dibina hasil sumbangan orang Malaysia iaitu Sekolah Ulfah tetapi agak jauh.
“Penduduk Syria memang mengharapkan dana dari Malaysia dan Turkiye yang juga adalah penyumbang terbesar bagi negara itu.Tetapi apa yang mengharukan, ada rakyat Palestin yang menghulurkan sumbangan kepada rakyat Syria walaupun apa yang mereka alami adalah lebih dahsyat.
“Sepanjang 10 hari di sana, rutin harian kami ke klinik bergerak yang terletak di beberapa tempat berbeza. Tujuannya untuk memudahkan mereka menjalani pemeriksaan untuk penyakit ringan dan tidak perlu ke klinik. Pesakit diberikan ubat batuk, demam dan antibiotik.
“Kalau penyakit serius, mereka perlu ke klinik tetapi hendak ke klinik tidak mudah. Jauh dan tiada kenderaan. Masyarakat di sana memang suka bantu membantu. Siapa ada kereta, akan bawa pesakit ke hospital,” katanya.
Dr. Fatimah yang berkemahiran berbahasa Arab berkata, klinik bergerak tidak banyak dan hanya ada antara lapan hingga 10 buah yang merawat berjuta pesakit.
Kagum ketabahan Syria
Semangat penduduk Syria yang tidak mengenal putus asa kesan peperangan dan bencana alam, mengajar Dr. Fatimah bersyukur.
Biarpun tubuh lumpuh dan hilang tempat tinggal kerana dibom, mereka tetap bangkit meneruskan apa yang tercicir dalam kehidupan sebelum ini.
“Ada seorang mangsa lahir tempang sebab polio. Namun semangatnya kuat untuk menyara anak dan adik beradiknya. Dia ambil biasiswa dan belajar secara dalam talian dengan Universiti Madinah Malaysia. Berbekalkan biasiswa, dia boleh sara diri dan keluarga malah berjaya meraih sarjana.
“Kegigihan seorang mangsa bom terus menyambung pengajiannya cukup menyentuh hati. Dia yang sedang berjalan, terkena serpihan bom di belakang badannya. Malangnya serpihan itu tidak boleh dikeluarkan. Ini menyebabkan luka dibelakangnya tidak boleh disembuhkan akibatnya dia lumpuh separuh badan,” katanya.
Dalam kesukaran itu, rakyat Syria masih bersemangat membangunkan negara mereka.
Antaranya pakar mata dikenali Dr. Sammy, yang belajar perubatan mata di Turkiye dan membina hospital mata di utara Syria, di bawah NGO dengan dana Turkiye. – UTUSAN










