BANSKA BYSTRICA: Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico kini dilaporkan sudah boleh bercakap tetapi kekal berada dalam keadaan serius.
Malah, polis mendakwa serangan suspek terhadap mangsa adalah bermotifkan politik.
Ahli politik dan presiden terpilih, Peter Pellegrini memberi taklimat kepada wartawan sehari selepas kejadian tembakan itu dan menyatakan kebimbangan mengenai ancaman polarisasi politik di Eropah.
“Dia (Fico) boleh bercakap tetapi hanya beberapa ayat dan kemudian dia benar-benar letih… Keadaannya sangat kritikal. Doktor meminta saya membuat lawatan yang sangat singkat.
“Saya memberitahunya bahawa kita berada di belakangnya,” kata Pellegrini di luar hospital di pusat bandar Banska Bystrica.
Kelmarin, konduktor kereta api, Richard Krajcik berharap dapat berswafoto dengan Fico selepas mesyuarat kerajaan di bandar tengah Handlova, namun hajatnya tidak kesampaian berlaku tembakan berkenaan.
“Semuanya berlaku begitu pantas,” kata Krajcik kepada AFP, sambil merenung tempat di dataran utama tempat Fico diserang.
Fico dalam keadaan stabil tetapi sangat serius selepas percubaan membunuh berkenaan.
Bekas ketua polis, Stefan Hamran menyelar pengawal peribadi Perdana Menteri itu dan memberitahu bahawa mereka lambat bertindak.
“Mereka bertindak balas dengan teruk. Daripada berdepan ke arah penyerang, mereka bergerak ke arah bertentangan dan cuba mengelak tembakan,” katanya.
Serangan Rabu lalu mencetuskan ketakutan di negara yang sangat terpolarisasi, ketika para pegawai membuat kaitan antara situasi politik dan motif suspek.
Polis mendakwa suspek, yang dikenali sebagai penulis, Juraj Cintula berusia 71 tahun dalam media tempatan, dengan cubaan membunuh Khamis.
“Ini adalah serigala tunggal yang tindakannya dipercepatkan selepas pilihan raya presiden kerana dia tidak berpuas hati dengan keputusannya,” kata Menteri Dalam Negeri, Matus Sutaj Estok. -CNA











