Doktor kurang hingga pesakit tunggu 5 jam, kakitangan hospital mohon maaf

Doktor kurang hingga pesakit tunggu 5 jam, kakitangan hospital mohon maaf

KELUHAN yang dipaparkan pada papan putih di Klinik Pakar Pembedahan di sebuah Hospital Berpakar di Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah hospital di negeri ini yang berhadapan isu kekurangan doktor  terpaksa memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama hingga lima jam.

Permohonan maaf bersama luahan masalah yang dihadapi kakitangan itu di tulis pada papan putih di lobi hospital dan gambarnya tular di media sosial.

“Selamat pagi, minta maaf. Kami menghadapi kekurangan doktor, masa menunggu doktor mungkin sampai lima jam. Doktor kami kerja sampai naik pengsan dan sakit masih kerja. Ada yang sudah letak jawatan, pergi ke hospital swasta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami ingin berkhidmat untuk rakyat, tetapi kami juga manusia, boleh penat dan sakit. Harap tuan dan puan faham. Minta maaf,” tulisnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah (Kesihatan Awam), Dr. Norizan Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, isu kekurangan sumber manusia akan ditangani sebaik mungkin supaya penyampaian perkhidmatan sedia ada tidak terjejas.

Beliau berkata, pembahagian sumber manusia di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kategori pakar dan pegawai perubatan di seluruh hospital adalah selari dengan beban tugas semasa.

“Manakala penempatan pegawai perubatan di sesebuah hospital pula ditentukan oleh Pengarah Hospital mengikut justifikasi dan keperluan semasa,” katanya.

Tambah Dr. Norizan, perkhidmatan klinik-klinik pakar di hospital berpakar adalah melalui sistem janji temu secara berperingkat dan berjadual bagi mengelakkan isu masa menunggu yang panjang.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengambil maklum akan isu tular di media sosial berkaitan satu notis yang dipaparkan di Klinik Pakar Pembedahan di sebuah Hospital Berpakar di Negeri Kedah.

“Untuk makluman semua, pihak JKNK sentiasa komited dan prihatin dengan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang bermutu kepada pelanggan tanpa menjejaskan kebajikan anggota bertugas,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang cadangan dan pandangan melalui saluran yang betul demi meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada pelanggan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini