KULAI: Empat lelaki yang disyaki terlibat dalam cubaan menculik seorang wanita berusia 47 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Johor Bahru dan Kulim, Kedah, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 40 tahun.
“Dalam siasatan awal, kesemua suspek mengaku mengatur dan merancang melakukan cubaan samun ke atas mangsa. Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai jenayah lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah serta ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pihak polis masih menyiasat sama ada terdapat suspek lain yang turut terlibat dengan jenayah berkenaan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta Honda Civic berserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan sebuah tablet.
“Kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365/511 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Pada 7 Mei lalu, Seng Lee mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada suami mangsa yang memaklumkan terdengar jeritan isterinya di hadapan rumah di Taman Lagenda Putra, Kulai sebelum mendapati
wanita itu mengalami luka pada bahagian bibir, tangan dan kaki.
Hasil siasatan mendapati mangsa telah ditumbuk dan diseret di atas jalan raya oleh suspek selain cuba ditarik masuk ke dalam kereta, namun gagal. – UTUSAN










