JPJ sita lori, 15 motosikal warga asing

JPJ sita lori, 15 motosikal warga asing

SELAIN lori, sebanyak 15 buah motosikal turut disita dalam Ops PeWA yang dijalankan di sekitar Taman Arowana dan Taman Pelangi, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Sebuah lori dan 15 buah motosikal disita dalam dua operasi penguatkuasaan khas Pemandu Warga Asing (PeWA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sini, kelmarin.

Jurucakap JPJ negeri berkata, dalam operasi pertama di Taman Arowana di sini, sebuah lori telah disita kerana pemandunya tidak memiliki Lesen Memandu Barangan atau GDL.

Beliau berkata, pemandu warga asing itu juga cuba menunjuk lagak dengan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa yang menahannya serta enggan menyerahkan lesen memandu ketika diminta berbuat demikian.

“Selain sebuah lori, JPJ juga menyita tujuh buah motosikal yang ditunggangi oleh warga asing dalam operasi yang sama,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, lapan buah motosikal lagi disita dalam operasi penguatkuasaan berasingan yang dijalankan di sekitar Taman Pelangi, di sini.

“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk tidak memiliki lesen memandu serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain katanya, sebanyak 117 notis saman melibatkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi yang berlangsung di beberapa lokasi termasuk Juru, Permatang Pauh, Bukit Minyak dan Batu Kawan di sini, semalam.

“Antara kesalahan utama yang dikesan iaitu tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

“Notis dikeluarkan susulan pengguna jalan raya gagal mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan.

Tambah beliau, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan iaitu dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×