Lata Kinjang ditutup sementara selepas kejadian kepala air

Lata Kinjang ditutup sementara selepas kejadian kepala air

KEADAAN di kawasan air terjun Lata Kinjang di Tapah, yang dipenuhi pokok kayu dan ranting berikutan kejadian kepala air. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Operasi Taman Eko-Rimba Lata Kinjang yang memiliki air terjun paling tinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 850 meter dari paras laut ditutup sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan kerja-kerja baik pulih kemudahan awam ekoran kejadian kepala air kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB), Dr. Norsyakina Jam berkata, kejadian kepala air itu disifatkan terburuk berlaku di kawasan air terjun itu dalam tempoh 36 tahun.

“Memang pernah berlaku kejadian kepala air sebelum ini tetapi ini yang paling besar (terburuk). Mujur semasa kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 pagi (kelmarin) itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kehilangan jiwa.

“Berlaku kerosakan siren kecemasan, titi gantung pondok jualan yang diperbuat daripada kayu dan buluh, tiang penghadang jabatan, kawasan pejalan kaki dan peralatan elektrik se­perti peti sejuk serta alatan memasak,” katanya.

Semenatra itu, tinjauan mendapati, beberapa bongkah batu telah beralih arah, kawasan gazebo yang diseliputi lumpur, kerosakan minumum gazebo dan jambatan terutama bahagian penghadang selain tembok sungai terhakis teruk.

Operasi taman eko-rimba ini diuruskan sepenuhnya oleh KOALKB dan dipantau oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Katanya lagi, kawasan persekitaran air terjun itu turut dipenuhi dengan pokok-pokok kayu dan ranting ekoran kepala air.

“Setakat ini, kami dalam proses melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih selain mengumpul pokok kayu, ranting serta tumbuhan.

“Dianggarkan kos kerugian awal kira-kira RM50,000 termasuk menyewa lori dan traktor untuk membuang sisa-sisa tersebut,” katanya.

Norsyakina memberitahu, operasi taman itu ditutup sementara sehingga kerja-kerja tersebut selesai selain bergantung pada keadaan cuaca terkini.

“Keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan lagi-lagi hujan lebat dan angin kencang yang kerap berlaku mutakhir ini,” katanya.

Kejadian kepala air di Lata Kinjang kelmarin ekoran hujan lebat pada waktu malam dan pagi sejak beberapa hari lalu.

Kejadian itu menyebabkan beberapa kemudahan awam di lokasi pelancongan terkenal itu mengalami kerosakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×