‘Jangan cemari tali air di kampung kami’

‘Jangan cemari tali air di kampung kami’

ZULKIFLI Ali (tiga, kiri) bersama beberapa penduduk kampung menunjukkan saluran air yang dibina untuk mengalirkan air kumbahan ke parit kecil di Lorong Datuk Ariss sebelum masuk ke parit besar di Kampung Bintang, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kira-kira 300 keluarga di Kampung Bintang, dekat sini bimbang berlaku pencemaran, jika laluan air kumbahan di Taman Peserai Jaya disalurkan terus ke parit di kampung mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Sementara Projek Laluan Air Kumbahan Taman Peserai Jaya, Zulkifli Ali berkata, kerja-kerja pembinaan saluran air kumbahan itu bermula sejak Februari lalu dan mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun katanya, penduduk bimbang projek tersebut boleh menyebabkan pencemaran di tali air kampung berke­naan walaupun pihak pemaju memberi jaminan proses penyelenggaraan di loji kumbahan akan dilakukan mengikut jadual ditetapkan.

“Kami difahamkan sekiranya air loji ini melimpah, ia akan memasuki parit di Lorong Datuk Ariss yang panjangnya kira-kira 500 meter sebelum ke parit besar di Kampung Bintang. Jika berlaku, ia menyebabkan pencemaran air di parit di kampung yang terletak di pinggir bandar Batu Pahat ini. Malah, turut dibimbangi menyebabkan pencemaran bau serta kehadi­ran lalat di kediaman kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zulkifli memberitahu, limpahan air dari loji itu kerap berlaku apabila hujan lebat.

“Untuk makluman, kawasan sekitar tadahan air dan loji kumbahan di taman perumahan ini sering berlaku banjir kilat dan kami semakin bimbang dengan situasi berkenaan yang akan menjejaskan keselesaan penduduk kampung.

“Kami penduduk kampung berharap pihak pemaju dan pihak berkuasa menilai semula projek berkenaan. Pihak berkenaan juga dicadangkan membina saliran baharu bagi limpahan air kumbahan tersebut yang boleh disalurkan ke parit besar di Jalan Peserai seterusnya ke Sungai Batu Pahat,” katanya.

Katanya, difahamkan kontraktor terlibat menyalurkan terus air kumbahan ke parit di kampung berhampiran untuk mengurangkan kos sehingga RM500,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×