NAIB juara pencarian Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar melancarkan koleksi puisi sulungnya Everything In Between.
Kemunculan beliau dalam dunia sastera merupakan manifestasi visinya untuk mendemokrasikan dan menjadikan puisi sebagai karya yang bersifat inklusif dan dekat dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap pendidikan.
Katanya, puisi lazimnya dianggap karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual.
“Persepsi ini menjauhkan golongan pemuisi muda yang baharu muncul dan ingin berkongsi karya mereka secara terbuka,” katanya.
Karya ini digarap bagi menginspirasikan pembacanya untuk memanfaatkan puisi sebagai platform bersuara.
Menerapkan elemen moden, ia mengandungi unsur-unsur interaktif seperti animasi buku selak (flipbook animation) dan realiti terimbuh (augmented reality) bagi menyuntik nafas baharu kepada bentuk karya malar segar.
Ia sekali gus mewujudkan pengalaman membaca puisi yang lebih menarik. Everything In Between, sebuah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris, menyelitkan tema sejagat cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan.
Karya ini mengandungi mesej khusus untuk wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup.
Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi Adriana turut mengangkat tema kesaksamaan gender dan pendayaupayaan wanita.
“Naskhah ini sangat dekat di hati saya dan ia cerminan peribadi saya terhadap perjalanan hidup.
“Puisi saya sampaikan ini dihasilkan dalam tempoh 12 tahun. Saya berhasrat untuk memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup,” katanya.
Beliau turut berharap buku berkenaan dapat menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebagai platform penzahiran diri dan menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka.
Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar, atau lebih dikenali sebagai Adriana Ghafar, ialah bakat dinamik dalam dunia hiburan Malaysia.
Sejak mula mencuri perhatian ramai menerusi program pencarian Dewi Remaja, Adriana terus melangkah jauh dan memikul pelbagai peranan sebagai pengacara, model, pelakon dan pembaca berita.
Wajahnya menjadi rebutan untuk menghiasi jenama jenama terkemuka seperti Samsung, Wonda Co ee, Enfagrow, Prego dan Oxy.
Adriana kini turut membina kerjaya guamannya sebagai pelatih dalam kamar, menyerlahkan sisi terbaharu dirinya sebagai pemuisi dan penulis menerusi karya ini.
Mula menulis puisi sejak berada di bangku sekolah, Adriana mendapat inspirasi daripada penulis-penulis ternama dunia seperti Maya Angelou, Sharon Olds, dan Emily Dickinson, serta penulis-penulis terkemuka negara seperti A. Samad Said, Khadijah Hashim, dan Bernice Chauly.
Koleksi puisi sulungnya ini dijual pada harga RM48 dan pra-tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi adthebuku.com manakala pelancaran dijadualkan berlangsung 15 Jun ini.











