KLANG: Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan permohonan seorang pemuda yang didakwa membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil tahun lalu dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.
Kebenaran dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Mohd. Hirman Ab. Raub selepas mendengar permohonan pihak pembelaan tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21.
Peguam Muhammad Nor Tamrin berkata, pihaknya mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Sungai Besar namun ditolak, September tahun lalu.
“Majistret ketika itu berpandangan bahawa ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan.
“Permohonan merujuk anak guam saya kepada pakar psikiatri bagi pemantauan lanjut itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Dalam prosiding sebutan kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Rosnee Mohd. Radzuan turut tidak membantah permohonan tersebut.
Mohd. Hirman kemudian menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan psikiatri dan dokumen lain.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa membunuh seorang wanita berusia 21 tahun. Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei tahun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya. – UTUSAN










