LIPIS: Sekolah Kebangsaan (SK) Clifford di sini mencipta rekod tersendiri apabila buat julung kalinya menghasilkan kaligrafi Cina sepanjang 28 meter.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru besar SK Clifford, Zarina Manja berkata, kaligrafi itu dihasilkan 52 guru dan kakitangan sempena Karnival Bahasa Cina di sekolah berkenaan.
Katanya, penghasilan kaligrafi itu pencapaian membanggakan buat SK Clifford sebagai sekolah rintis bagi daerah ini apabila menjadikan bahasa Cina antara pilihan bahasa yang boleh dipelajari oleh murid selain bahasa Arab.
“Selain menghasilkan kaligrafi Cina itu, pelbagai acara menarik disediakan di reruai yang disertai 95 murid kelas bahasa Cina dari tahun satu hingga lima,” katanya di sini kelmarin.
Menurut Zarina lagi, karnival itu turut mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.
“Sambutan yang diterima begitu menggalakkan dan diharapkan ia dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










