Guru agama tidak patah semangat walau pernah dipulau

Guru agama tidak patah semangat walau pernah dipulau Orang Asli

MOHD Alwi Ismail (kiri) bersama rakannya menolak motosikal sambil meredah sungai semata-mata mahu mengajar agama di Pos Balar, Gua Musang, Kelanta. n-UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Guru agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) tidak pernah patah semangat untuk terus menyebarkan dakwah dan ajaran Islam kepada masyarakat Orang Asli di Pos Balar di sini, walaupun pernah ‘dipulau’.

Bukan itu sahaja, Mohd. Alwi Ismail, 41, terpaksa meredah laluan berbukit, jalan balak dan sungai selama lima jam untuk sampai ke Pos Balar menggunakan motosikal.

“Saya bersama dua lagi guru agama (Muallim) lain menunggang motosikal jenis Honda EX5 meredah jalan balak dan sungai selama lima jam untuk ke Pos Balar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, kami pernah terserempak dengan beruang dan gajah semasa dalam perjalanan.

“Kami akan tinggal di kampung Orang Asli selama tiga minggu untuk mengajar mereka subjek perkara asas fardu ain, iqra dan amali solat,” katanya.

Mohd. Alwi memberitahu, dia tidak pernah patah semangat dan bersyukur apabila sehingga kini berjaya membimbing lebih 300 penduduk Orang Asli untuk mengenali agama Islam.

Mengimbau usaha berdakwah, katanya, kehadiran mereka pada awalnya tidak diterima baik oleh penduduk setempat.

“Pada 2010, penduduk pulau kami dengan mengurungkan diri dalam rumah kerana tidak mahu menerima kedatangan orang luar.

“Saya membuat keputusan untuk belajar bahasa suku kaum Orang Asli Temiar sebagai cara untuk mendekati mereka. Alhamdulillah, selepas tujuh bulan penduduk Orang Asli semakin menerima kehadiran kami dan mula ingin mendalami agama Islam,” katanya.

Mohd. Alwi berkata, selepas 14 tahun menjadi tenaga pe­ngajar agama di pedalaman, minatnya berdakwah semakin serasi dan sebati di perkampu­ngan Orang Asli.

Dia bersyukur apabila Orang Asli yang bukan beragama Islam turut menunjukkan minat untuk belajar dengan berkunjung ke masjid yang terletak di Kampung Perawas, Pos Balar.

“Daripada 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Balar, lebih 300 orang sudah memeluk agama Islam. Baru-baru ini pula berlaku penambahan 16 orang lagi saudara baharu dalam kalangan Orang Asli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN