Sivasangari, Eain Yow terkandas Kejohanan Dunia

Sivasangari, Eain Yow terkandas Kejohanan Dunia

S SIVASANGARI terkandas pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Kaherah, Mesir, hari ini. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan wakil negra beraksi di  suku akhir skuasy Kejohanan Dunia berakhir  apabila S. Sivasangari dan Ng Eain Yow terkandas pada pusingan ketiga di Kaherah, Mesir, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Sivasangari yang menghuni ranking No. 11 dunia gagal menyekat pilihan kedua dari Mesir, Hania El Hammamy 13-15, 6-11, 5-11 dalam masa 44 minit di Kelab Palm Hills.

Pemain No. 17 dunia, Eain Yow turut tunduk menerusi kekalahan straight set 9-11, 4-11, 6-11 kepada pilihan kedua, Paul Coll dari New Zealand dalam masa 39 minit.

Kegagalan dua pemain utama Malaysia itu menyaksikan penantian selama tujuh untuk melihat ada wakil negara sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke suku akhir musnah.

Kali terakhir pemain negara mara peringkat tersebut ialah menerusi bekas juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David pada 2017 dan selepas beliau menggantung raketnya masih belum ada wakil Malaysia berjaya berbuat demikian.

Setiausaha Kehormat Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mohd Nafzahizam Adnan berkata, terkandas di pusingan ketiga pada Kejohanan Dunia baik Sivasangari mahupun Eain Yow, pencapaian kedua-dua mereka belum boleh disifatkan sebagai gagal.

“Mereka tidak gagal dari segi persembahan kerana mereka berdua bukanlah pemain pilihan dan lawan yang mereka tentang pula merupakan bintang No. 3 dan No. 2 dunia.

“Macam Sivasangari dia berdepan El Hammamy yang merupakan pilihan kedua, begitu juga Eain Yow yang bertemu Coll juga pilihan kedua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut beliau, apa yang diperlukan Sivasangari dan Eain Yow ialah bermain dengan lebih konsisten dan mencari jalan menyesuaikan diri dengan rentak permainan yang semakin laju.

Jelasnya, Sivasangari dan Eain Yow perlu berusaha untuk memenangi lebih banyak pertandingan bagi membantu meningkatkan keyakinan mereka.

“Kedua-dua mereka masih berada di atas landasan tepat ke LA 2028 (Sukan Olimpik) jika dinilai dari segi persembahan yang dipamerkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×