UMPSA diiktiraf universiti teknikal No.1 di Malaysia, 146 terbaik dunia - Utusan Malaysia

UMPSA diiktiraf universiti teknikal No.1 di Malaysia, 146 terbaik dunia

UMPSA diiktiraf universiti teknikal No.1 di Malaysia, 146 terbaik dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diiktiraf sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.

Pencapaian itu meletakkan UMPSA berada di kedudukan No. 1 terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan ketiga terbaik di negara ini.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, UMPSA sebuah universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi kini berusia 22 tahun.

“Indikator yang menjadi kekuatan UMPSA adalah kualiti penyelidikan. Universiti memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan,” katanya di sini.

Yuserrie berkata, pencapaian ini membuktikan UMPSA berada di landasan yang tepat selari Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dalam memacu kecemerlangan agar setanding dengan universiti terkemuka di dunia amnya dan di Malaysia khasnya.

“THE Young membuat penilaian berdasarkan kepada indikator Research Quality: 30 peratus, Teaching Reputation: 29.5 peratus, Research Environment: 29 peratus, International Outlook: 7.5 peratus dan Industry: empat peratus.

“Prestasi cemerlang ini tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen utuh warga universiti serta kerjasama strategik yang produktif bersama pihak industri, agensi, sektor awam dan tidak ketinggalan, alumni UMPSA,” katanya.

Menurutnya, pihaknya merakamkan penghargaan buat warga UMPSA yang sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran penyelidikan, kolaborasi strategik bersama industri dan pengantarabangsaan program akademik melalui jalinan strategik di pelbagai peringkat dalam dan luar negara.

Ujarnya, UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

“Dalam pada itu, universiti menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi dan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju (Advanced TVET),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×