KOTA KINABALU: Parti tunggal masih berpeluang untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kemungkinan itu boleh berlaku jika mengambil kira sejarah politik Sabah yang pernah diperintah oleh parti tunggal selama 20 tahun.
“Saya ingat kalau lihat sejarah Sabah, sudah pernah rakyat Sabah memutuskan untuk memilih satu parti.. Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) 10 tahun, Parti Bersatu Sabah (PBS) 10 tahun. Jadi kita nampak keadaan itu sudah pernah berlaku.
“Cuma terserah kepada orang Sabah, rakyat Sabah apa yang mereka kehendaki sama ada banyak parti atau satu parti..yang menentukan siapa akan berkuasa adalah pengundi Sabah,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Duta India ke Malaysia, Bollavaram Nagabhushana Reddy, di kediamannya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan parti tunggal boleh kembali memerintah Sabah pada PRN yang akan datang.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sudah ada pengalaman dulu, tanpa ada gabungan parti tunggal boleh memerintah Sabah.
Jadi, sekiranya rakyat Sabah mahukan pembangunan, kestabilan dan kemajuan yang jelas maka, perlu ada kebulatan suara untuk memilih parti yang mempunyai perancangan dan dasar yang jelas untuk membantu rakyat Sabah.
Mohd. Shafie berkata, situasi sekarang mungkin berbeza dengan dahulu namun, apa sahaja boleh berlaku dalam keadaan sekarang kerana keputusan terletak ditangan rakyat.
“Kita tidak boleh bekerjasama sebab macam dulu saya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), PKR minta 14 kerusi, DAP minta 14 kerusi dan UPKO minta dekat 20 kerusi tapi kita bagi PKR tujuh kerusi, DAP enam kerusi, Amanah satu. Selepas itu, DAP menang enam menggunakan logo Warisan, PKR kalah dan hanya dapat dua (kerusi) sahaja dan UPKO daripada 18 kerusi, satu sahaja menang,” katanya.
Malah jika dilihat diperingkat Persekutuan, bukan mudah untuk menguruskan 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan kerana bukan semua mahu jadi pengikut.
Justeru, perlu ada kejelasan agar Sabah boleh menentukan hala tuju melalui rancangan pembangunan yang mampan demi kebaikan rakyat.- UTUSAN











