Satu lagi kawasan pembuangan sampah haram dikesan di Kg. Jimah Lama - Utusan Malaysia

Satu lagi kawasan pembuangan sampah haram dikesan di Kg. Jimah Lama

J. ARUL Kumar (kiri) dan Hazahar (tengah) melihat pelbagai sisa yang dibuang di kawasan tempat pembuangan sampah haram yang ditemukan di Kampung Jimah Lama, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Susulan aduan keresahan penduduk di Kampung Jimah Lama di sini baru-baru ini mengenai sebidang tanah persendirian di kampung itu yang dijadikan kawasan pelupusan sampah haram, pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan mengesan sebidang tanah lagi yang berdepan isu yang sama pagi tadi.

Ia terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi pertama dan ia ditemukan pihak penguatkuasa SWCorp hasil rondaan yang dijalankan di kampung itu pagi tadi.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Hazahar Hashim berkata, hasil operasi tersebut pihaknya telah menyita dua buah lori yang didapati sedang membuang sampah di kawasan itu.

“Kami dapati ada sisa binaan, domestik, pukal dan pelbagai sisa lain yang bercampur kesemuanya. Kami dapati pihak operator kutipan sisa ini cuba mengambil keuntungan dan langkah mudah dengan membuang sampah ini di sini tanpa mengambil kita keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

“Mereka mempunyai lesen untuk buat kutipan sisa binaan namun dalam syarat lesen ada dinyatakan di mana sepatutnya mereka buang namun apa yang dikesalkan mereka ambil jalan mudah membuangnya di sini dan tidak ikut peraturan lesen,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Hazahar, tindakan bukan hanya akan dikenakan kepada syarikat dan pemilik lori tersebut tetapi juga kepada pemilik tanah yang membenar tanah itu dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah haram.

Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 71(8)  Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, 2007 (Akta 672).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, pihaknya kesal dengan kejadian tersebut dan meminta pihak SWCorp untuk meningkatkan pemantauan di kawasan itu.

“Kami ambil tindakan untuk mengelakkan lagi mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ditempat yang tidak dibenarkan.

“Kami tahu ada beberapa tempat lain di kawasan ini yang dijadikan tempat pembuangan sampah haram, saya akan minta SWCorp untuk menyiasat dan ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan ini,” tegasnya.

Sementara itu, menurut Hazahar, pihaknya juga menutup kawasan berkenaan dan akan mengeluarkan notis kepada pihak syarikat yang membuang sampah itu dan pemilik tanah untuk membersihkan kawasan berkenaan dalam tempoh 21 hari.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan penduduk di Kampung Jimah Lama di sini yang meminta pihak berwajib mengambil tindakan sepatutnya berhubung sebidang tanah persendirian di kampung itu yang telah dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Menurut mereka, tempat pembuangan sampah haram termasuk sisa binaan itu berada berdekatan dengan beberapa buah rumah penduduk sekali gus boleh memberi risiko kepada kesihatan penduduk.

Susulan laporan itu, pihak (SWCorp) Negeri Sembilan segera mengambil dengan menjalankan operasi penguatkuasaan dan hasil siasatan di lokasi terbabit mendapati tanah tersebut adalah milik persendirian yang digunakan untuk melupuskan sisa secara haram oleh operator yang tidak berlesen.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×