Wartawan Utusan Malaysia dibuli motosikal sebab ikut Smart Lane

Wartawan Utusan Malaysia dibuli motosikal sebab ikut Smart Lane

AKSI biadab beberapa penunggang motosikal membuli pemandu kereta yang menggunakan Smart Lane dekat Plaza Tol Southville, Bangi. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan seorang pemandu kereta memanfaatkan laluan Smart Lane di Bangi mengundang padah apabila dia dibuli lebih 20 penunggang motosikal hampir lima minit.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa yang juga wartawan sambilan Utusan Malaysia, Amree Ahmad menggunakan lorong tersebut untuk mengelak kesesakan teruk.

Dia yang datang dari Plaza Tol Putra Mahkota menuju pejabat imigresen di Putrajaya bagi semakan khas untuk urusan ibadah fardu haji yang akan ditunaikannya awal bulan depan.

“Sejurus keluar simpang untuk memasuki lebuh raya PLUS, saya mengikutlah Smart Lane tetapi puluhan motosikal yang berada di laluan itu tiba-tiba menjadi amat marah,” katanya.

Penunggang berkenaan ujarnya, kemudian mula bertindak ganas dan kurang ajar dengan membunyikan hon bertalu-talu selain ada biadab menunjukkan tangan tanda isyarat lucah.

Perlakuan agresif mereka katanya, berterusan sepanjang hampir 10 kilometer di laluan itu sehingga lorong tersebut tamat berdekatan persimpangan masuk ke Plaza Tol Southville.

Amree, 48, yang ketika itu ditemani isterinya, namun tetap tenang tidak melayan provokasi liar dari kumpulan penunggang motosikal berkenaan yang turut menjerit bising ke arahnya.

“Saya cuma berasa kesal kerana mereka cukup biadab,” katanya yang memandu Hyundai Santa Fe ketika insiden itu dan telah bertugas dalam dunia kewartawanan lebih 20 tahun.

Tidak cukup aksi kurang ajar tersebut, mereka juga sengaja memperlahankan motosikal bagi mengepung kereta dan memastikan kenderaan dipandunya tidak dapat bergerak laju.

Walau bagaimanapun dia tidak pula berhasrat membuat laporan polis kerana menyifatkan individu terbabit sebagai kelompok jahil dengan malas mengikuti perkembangan semasa.

Utusan Malaysia difahamkan bahawa papan peringatan mengenai isu pengaktifan Smart Lane di laluan itu baru sahaja dipasang syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad kelmarin.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan, pemandu kereta sudah boleh memasuki lorong kecemasan itu dari Isnin sehingga Jumaat hanya bermula pukul 6 pagi sehingga 10 pagi.

Sementara pada Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am, tempoh waktu dibenarkan operator konsesi lebuh raya tersebut adalah lebih lama iaitu dari pukul 9 pagi sehingga 9 malam.

Ironinya, ramai pemandu kereta masih tidak menyedari mengenai inisiatif khas itu bagi mengurangkan kesesakan dari Seremban, Negeri Sembilan menuju ke arah ibu negara.

Ini dapat dilihat menerusi komen warganet yang geram dengan sikap mementingkan diri kumpulan penunggang motosikal seolah-olah pemandu kereta melakukan kesalahan pula.

Situasi berkenaan mengakibatkan ada pengguna kereta seperti ‘malu alah’ menggunakan Smart Lane dan lebih sanggup terperangkap dalam kesesakan teruk laluan lebuh raya itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×