Pemuda lemas ketika menyelam di Air Terjun Lata Bayu - Utusan Malaysia

Pemuda lemas ketika menyelam di Air Terjun Lata Bayu

Mayat Muhammad Luqman ditemui lemas di Air Terjun Lata Bayu di Baling, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang pemuda yang dilaporkan hilang selepas berkelah bersama tiga rakannya di Air Terjun Lata Bayu, di sini semalam ditemui mati lemas hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Luqman Zuraidi, 27, ditemui di dasar sungai kira-kira pukul 11.05 pagi tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah.

Mangsa difahamkan lemas ketika menyelam kerana ditemui dalam keadaan masih memakai gogal.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa dan tiga rakan pergi berkelah di kawasan air terjun itu pada pukul 11 pagi semalam sebelum hilang.

Katanya, rakan-rakannya itu kemudian pergi ke rumah keluarga mangsa bagi memaklumkan tentang kehilangannya pada pukul 9 malam tadi.

“Kali terakhir rakan melihat mangsa adalah ketika dia memberitahu mahu pergi mencari cacing untuk memancing,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan termasuk di kawasan lata tempat mangsa dilihat dengan kedalaman air sehingga paras leher atau 170 sentimeter.

“Mayat mangsa kemudian berjaya ditemui pada pukul 11.05 pagi tadi yang mana mangsa dipercayai lemas ketika menyelam kerana masih memakai gogal. Mayat mangsa berjaya diusung turun dari lata pada pukul 1.20 tengah hari tadi sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” tambahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×