RM2 bilion dana asing mengalir ke pasaran tempatan dalam dua minggu - Utusan Malaysia

RM2 bilion dana asing mengalir ke pasaran tempatan dalam dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih RM2 bilion dana asing mengalir ke dalam negara dalam tempoh dua minggu selepas pelabur asing meneruskan belian bersih berjumlah RM961.1 juta di Bursa Malaysia, minggu lalu.

Ia merupakan belian bersih minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran masuk direkodkan bernilai RM1.06 bilion pada minggu sebelumnya, kata MIDF Investment Bank Bhd.

Menurut Laporan Aliran Dana minggu berakhir 10 Mei 2024, sepanjang minggu lepas, setiap hari dagangan kecuali Khamis menyaksikan aktiviti belian bersih.

Katanya, pelabur asing kembali kepada pembeli bersih semula pada hari Jumaat, mungkin dipengaruhi oleh keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.

“Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM268.2 juta), utiliti (RM242.9 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM114 juta).

“Sementara itu, satu-satunya sektor yang mempunyai aliran keluar bersih asing ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM8.9 juta) dan amanah pelaburan hartanah (REIT) (RM3.8 juta),” katanya.

Bank pelaburan berkata, institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka untuk minggu kedua berturut-turut berjumlah RM724.9 juta.

“Untuk minggu kesembilan berturut-turut, peruncit tempatan terus melupuskan ekuiti domestik berjumlah RM236.2 juta.

“Dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat bagi peruncit tempatan (17.4 peratus) dan institusi tempatan (1.3 peratus), manakala pelabur asing mengalami penurunan (9.9 peratus),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×