BALIK PULAU : Pantai Teluk Bahang di sini diisytiharkan pantai mesra penyu sebagai sebahagian daripada usaha untuk memelihara serta merehabilitasikan spesies terancam itu.
Bersempena dengan pengisytiharan tersebut, satu pusat konservasi marin turut dilancarkan di Hotel Angsana Teluk Bahang sebagai usaha mendidik, memulihara serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai spesis akuatik terancam seperti penyu, mamalia marin dan batu karang.
Kedua-dua usaha berkenaan merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Aquawalk Group dan Hotel Angsana Teluk Bahang dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bertindak sebagai penasihat teknikal bagi insiatif terbabit.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan (DoF), Wan Muhammad Aznan Abdullah, selepas hampir 20 tahun, pantai Teluk Bahang di sini akhirnya menyaksikan pendaratan semula penyu lipas pada tahun lepas untuk bertelur.
“Berdasarkan rekod dari tahun 2019 hingga 2023, Pulau Pinang telah mencatatkan data pendaratan ibu penyu sebanyak 292 kali dan pendaratan reptilia ini tertumpu di Pantai Kerachut, Teluk Kampi dan Teluk Bahang.
“Daripada jumlah pendaratan ini, sebanyak 27,701 biji telur telah berjaya diperoleh serta penetasan telur sebanyak 17,607 biji.
“Pada tahun lepas pula, penyu lipas kembali mendarat dan bertelur di pantai Teluk Bahang dan baru-baru ini juga nelayan ada menjumpai telur penyu di kawasan pantai ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Wan Muhammad Aznan yang mewakili Ketua Pengarah DoF dan Pengarah Urusan Pengarah Urusan Aquawalk Group, Datuk Simon Foong menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mewakili dua pihak iaitu DoF serta Aquawalk Group (Aquaria KLCC).

Memorandum tersebut dimeterai sebagai tanda persetujuan bagi menjalin kerjasama berkaitan pengurusan dan pemuliharaan spesis akuatik terancam di negara ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Dalam pada itu, Wan Muhammad Aznan memberitahu, dua spesis penyu yang dikenal pasti mendarat di sekitar pantai Pulau Pinang ketika ini ialah penyu agar (Chelonia mydas) dan penyu lipas (Lepidochelys olivacea).
“Penyu agar dan penyu lipas ini adalah haiwan yang terancam dan dengan usaha yang diambil ini, ia dapat menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendaratan penyu di kawasan Pantai Barat.
“Keadaan pantai di Pulau Pinang juga lebih luas. Jadi, kita perlu jadikan pantai kita sebagai mesra penyu dan seterusnya dapat meningkatkan pendaratan penyu di negeri ini,” katanya.-UTUSAN










