BAGAN DATUK: DAP bukan menjadi ancaman kepada orang Melayu dan Islam sebaliknya tohmahan itu dilemparkan pembangkang demi meraih sokongan daripada kaum dan penganut agama tersebut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang Barisan Nasional (BN) dan UMNO berada dalam kerajaan perpaduan, DAP tidak pernah mempersoalkan apa-apa isu berkaitan orang Melayu dan Islam.
Malah, jelas beliau, UMNO menghormati DAP kerana parti itu menghormati Perlembagaan Negara termasuk perkara berkaitan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan raja-raja Melayu.
“Mereka (pemimpin DAP) tidak ‘komplen’ pun hak orang Melayu dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, dan bila kita buat kongres ekonomi Bumiputera pun mereka tidak ‘komplen’.
“Yang kata Melayu terancam (oleh DAP) ialah pihak sebelah sana (pembangkang),” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-cawangan empat peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini, hari ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, DAP juga tidak merungut diberi empat jawatan menteri walaupun memiliki 40 kerusi Parlimen berbanding BN memperoleh tujuh jawatan menteri walaupun hanya menang 26 kerusi.
Begitupun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengakui belum wujud keserasian antara ahli UMNO dengan DAP kerana hubungan mereka masih baharu dan belum mencapai tempoh dua tahun.
“Memang sukar untuk menimbulkan keserasian (dalam tempoh singkat), (hubungan) kita dengan Pas (ketika bersama dalam Muafakat Nasional), ambil masa dua tahun untuk serasi (sebelum berpisah),” ujarnya.
Jelas beliau, pembangkang memainkan isu berkaitan orang Melayu supaya membenci UMNO kerana berkawan dengan DAP.
Begitupun, beliau memaklumkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin meningkat sekarang termasuk permohonan antara 2,500 hingga 5,000 orang menjadi ahli parti itu setiap bulan di Sabah.
Selain itu, ujarnya, kehadiran ahli parti dalam mesyuarat cawangan di Terengganu dan Sabah amat luar biasa dan tiada satu pun daripada kira-kira 21,000 cawangan parti itu di seluruh negara yang ditutup. – UTUSAN










