SEREMBAN: Seorang lelaki ditangkap polis selepas dipercayai melakukan amang seksual ke atas anak perempuannya berusia 13 tahun dengan kejadian terbaharu berlaku pada 2 Mei lalu di sebuah kampung di Rasah di sini.
Sumber berkata, kejadian berkenaan sudah berlaku beberapa kali sejak mangsa berusia 12 tahun ketika ibu mangsa tiada di rumah.
Menurutnya, mangsa yang sudah tidak tahan dengan perbuatan diraba bapanya itu telah mengadu kepada ibunya dan wanita berkenaan membawa anaknya untuk membuat laporan polis.
Sumber berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Seremban dan perintah reman dikeluarkan selama tujuh hari bermula hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan tangkapan telah dibuat ke atas suspek di Dengkil, Selangor pada pukul 3.50 petang semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atau Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Mangsa sudah dihantar untuk pemeriksaan di hospital untuk siasatan lanjut. Siasatan masih diteruskan,” katanya.










