JOHOR BAHRU: Seorang penyeludup cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis ketika menjaga 5,535 karton rokok putih dan kretek di sebuah pondok di Pantai Bio Desaru, Kota Tinggi, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, serbuan pada pukul 9 malam itu dilakukan hasil risikan Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Wilayah Dua sejak dua minggu lalu.
“Ketika serbuan dilakukan seorang lelaki dipercayai penjaga barang kontraban melarikan diri dan meninggalkan karton rokok di sebuah pondok dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Kembara.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 5,535 karton rokok mengandungi 914,600 batang putih dan kretek tidak berkastam.
“Anggaran nilai rampasan rokok termasuk cukai ialah RM1.37 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.
Pihaknya turut merampas Perodua Kembara tersebut yang dianggarkan bernilai RM20,000.
Hasil maklumat, rokok itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui laluan laut sebelum mendarat di perairan Kota Tinggi untuk diedarkan dalam pasaran tempatan.
Kegiatan penyeludupan itu disyaki baru dilakukan penjenayah, iaitu kira-kira dua minggu lalu.
“Kesemua rokok seludup dan kenderaan yang dirampas dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk siasatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










