HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) yakin kekalahannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu semalam tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada parti walaupun jumlah undi yang diperolehi sedikit rendah berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Pengarah pilihan raya PN bagi PRK tersebut, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, faktor terbesar kepada keputusan pada pilihan raya itu adalah masalah peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu pada 61.51 peratus.
Menurutnya, impak diterima PN adalah lebih rendah berbanding Pakatan Harapan (PH) yang disumbang oleh faktor kemeruduman peratusan keluar mengundi iaitu kurang 862 undi berbanding 628.
“Tetapi, dukungan kita masih kuat, tidak terkesan hanya penurunan 628, faktornya kerana keputusan keluar mengundi itu jatuh merudum. Tetapi, penurunan sokongan itu kecil berbanding penurunan peratusan mengundi, itu fakta.
“Keduanya, dari sudut lokaliti kalau kita tengok saluran. Itu saluran satu, dua dan tiga, maknanya pengundi yang lama itu meningkat secara besar kepada PN, kita berjaya memberikan penjelasan kepada warga emas tentang dasar dan juga program PN,” katanya kepada ketika ditemui, malam tadi.
Tambahnya, peratusan pengundian yang rendah dilihat pada saluran empat, lima dan enam, namun tidak berlaku perpindahan sokongan daripada PN kepada PH apabila pengundi muda didakwa berada di luar tidak pulang mengundi.
“Berlaku sedikit penurunan tetapi ia tidak berpindah kepada PH sebab PH pun berlaku penurunan yang lebih besar daripada PN,” tegasnya.
Terdahulu usaha PN untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bagi melengkapkan penguasaannya terhadap Parlimen Hulu Selangor gagal apabila tewas kepada PH yang meraih majoriti, 3,869.
Dalam PRK di kawasan tersebut, calon PH, Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi meninggalkan calon PN, Khairul Azhari Saut yang sekadar meraih 10,151 undi.
Dalam pada itu, Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor menjelaskan, partinya kekal menguasai dua pusat daerah mengundi (PDM) seperti PRN tahun lalu iaitu di Ampang Pecah dan Bandar Utama Batang Kali.
“Malah, saluran satu, dua dan tiga itu meningkat kepada PN. Itu tidak pernah berlaku, biasanya golongan yang berusia itu dia lebih kepada kerajaan. Tetapi, hari ini kita boleh lihat peningkatan itu cukup meyakinkan.
“Kalau kita tengok beberapa lokaliti daerah pengundi Cina, ada sedikit peningkatan kepada PN, itu juga satu perkara yang saya kira positif, bermakna orang bukan Melayu boleh terima PN,” ujarnya. – UTUSAN










