JIKA kita berbual mengenai basikal trek, pastinya terimbau Datuk Azizulhasni Awang dalam minda kita.
Azizulhasni atau nama penuhnya Muhammad Azizulhasni Awang hanya anak kampung di Dungun, Terengganu yang meminati sukan berbasikal selepas dihadiahkan oleh bapanya sebagai ganjarannya cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR)
Walaupun semakin berusia, Azizulhasni tidak pernah berputus asa untuk mengejar impiannya yang belum diperoleh iaitu pingat emas Sukan Olimpik.
Beliau yang terpalit dengan isu kesihatan jantung tidak pernah menjadikan ia alasan untuk mematahkan semangatnya terus berlumba di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Kini pada usia 36 tahun, Azizulhasni menyatakan beliau mahu bersara dari dunia sukan basikal trek sejurus Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.
Di sebalik persaraannya, beliau tagihkan hadiah terakhir buat dirinya sebagai pelengkap pencapaian kariernya untuk membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara.
“Semua sudah maklum yang umur saya tahun ini sudah mencecah 36 tahun. Usia di mana rata-rata atlet Malaysia sudah memilih untuk bersara.
“Pada usia sebegini musuh utama saya hanyalah kecederaan. Saya tidak pernah berputus asa mengenai masalah perikarditis dan cuba untuk pulih dengan secepat mungkin.
“Sasaran pingat emas itu dilihat mustahil, namun saya masih mampu dan mahu membawa pulang pingat emas sebagai hadiah terakhir daripada saya sebelum berundur,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman berikutan tubuhnya yang bersaiz kecil berbanding pelumba basikal trek dunia yang lain.
Beliau memulakan kerjayanya selepas mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajarannya di Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk mengasah bakatnya dalam sukan basikal.
Usaha kerasnya pada sukan berbasikal trek membuahkan hasil selepas meraih satu emas dan dua perak pada penampilan sulung antarabangsanya ketika Sukan Asia Tenggara (SEA) 2007 pada usia 19 tahun.
Azizulhasni yang juga dikenali sebagai Jijoe mula mencipta nama dalam kancah sukan berbasikal trek apabila meraih pingat emas pertamanya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2007 di Bangkok.
Tahun demi tahun, beliau terus mencipta namanya di persada antarabangsa meraih pelbagai warna pingat kecuali emas pada Kejohanan Dunia sehinggalah pada tahun 2017.
Pada tahun 2017, Jijoe akhirnya menamatkan tahunnya dengan kegembiraan selepas merangkul pingat emas Kejohanan Dunia yang diidamkan selama ini di bumi Hong Kong.
Beliau turut berkongsi impian meraih emas dunia selepas bertahun-tahun mengintai gelaran tersebut.
“Ketika itu saya tidak terkata. Sedih dan gembira perasaan saya. Saya mencuba selama 10 tahun sejak sertai perlumbaan tahap elit ketika itu.
“Pada 2007 saya tetap mencuba dan saya akui saya gagal banyak kali. Raih gangsa dua kali dan perak dua kali kerana tewas tipis kepada ramai pelumba hebat.
“Berkat dari Allah SWT, saya terus mencuba dan tidak pernah kenal erti putus asa. Suatu hari nanti ianya akan menjadi milik saya, begitu juga dengan pingat emas Olimpik,” katanya.
Azizulhasni mencipta sejarah selepas menjadi pelumba basikal pertama negara untuk memenangi pingat pada Sukan Olimpik Rio 2016 menerusi acara keirin.
Beliau kemudian melengkapkan kabinet senarai pingatnya, meraih perak pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas di tangan jaguh dari Britain, Jason Kenny. – UTUSAN











