Cerpen: Hikmah sabar

Cerpen: Hikmah sabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebaik sahaja selesai menyalakan 12 batang colok, sempena sembahyang kepada leluhur sebelah suaminya, Win Nee mencapai beg tangan lantas keluar dari rumah itu. Dia terasa ingin sekali hendak meraung dan serentak itu air matanya gugur berderaian.

Dia sangat terkilan apabila dimarahi oleh ibu mentua di hadapan adik iparnya. Seolah-olah dirinya seorang yang tidak berguna. Sedangkan adik iparnya itu jarang-jarang sekali memunculkan diri di rumah orang tua itu walaupun rumahnya berada dalam daerah yang sama.

Selama ini Win Nee lah yang menghadirkan diri membantu apa-apa yang patut seandainya rumah itu mahu mengadakan upacara sembahyang kepada leluhur mereka. Win Nee, isteri anak lelaki sulung di rumah itu. Dia mengerti tugas serta tanggungjawabnya.

Win Nee sudah berusaha sehabis daya untuk menjaga perhubungan dengan mentua yang bermulut pedas itu. Namun orang tua itu tidak pernah nampak kebaikan dalam diri Win Nee. Selalu bercerita tentang keburukan

Win Nee kepada sesiapa saja yang mendekati dan mengajaknya berbual.

Bertemankan sehelai sapu tangan berwarna kuning, dia berjalan menuju ke pasar pagi yang tidak berapa jauh dari rumah tersebut.

Air matanya gugur tanpa henti. Perasaan kesal dan terkilan berbaur dalam diri. Win Nee dikatakan sering bercakap dalam nada menyindir dengan ibu mentuanya. Kenyataan orang tua itu tidak boleh Win Nee terima kerana selama ini dia tidak pernah berniat langsung untuk menyindir.

Win Nee selalu hadir ke wat untuk membaca ayat-ayat suci Buddha, pada hari minggu dia mengajar di kelas Dhamma. Semua itu dia lakukan dengan ikhlas dan senang hati. Masihkah wujud perasaan ingin bermusuhan dengan orang tua itu? Tidak sesekali. Kesal hatinya kerana orang tua itu tidak mengerti keikhlasan jiwanya.

Win Nee sudah tidak mempunyai ibu bapa, sudah hilang tempat menumpang manja. Keadaan itu semakin membuatkan dirinya mudah mengalirkan air mata. Suaminya Kheng Hun bersimpati dengan nasib Win Nee. Kheng

Hun selalu bertelagah dengan ibunya kerana tidak sependapat.

Kheng Hun kerap menegur kelakuan ibunya yang suka berbicara buruk hal orang, melihat daripada sudut negatif dan tidak bertegur sapa dengan jiran yang menyewa sebelah rumahnya.

Pada hal ketika sakit pening jirannya itulah yang sering menelefon memberitahu kepada Kheng Hun bahawa ibunya sakit. Dan Kheng Hun akan bergegas datang membawanya ke klinik. Perempuan tua itu seakan berdendam dengan Win Nee apabila suatu hari Win Nee memberitahu prinsipnya yang menjalinkan hubungan baik dengan semua orang.

“Keadaan sering berubah-ubah. Hari ini kita senang, tetapi mana tahu suatu hari nanti kita perlukan pertolongan jiran-jiran. Kerana itu kita perlu berbaik-baik dengan mereka.” Win Nee menceritakan tentang prinsip hidupnya kepada ibu mentuanya yang sedang bermuka kelat.

Kata-kata itu telah menyebabkan mentuanya naik darah dan sakit hati. Dia rasakan seperti Win Nee cuba mengajarnya yang terlebih dahulu makan garam. Sejak itu dendamnya berkesumat untuk membidas Win Nee saban waktu.

Tambahan pula dia kecewa dengan anak perempuan bongsunya yang bersuami garang. Semua perkara harus mengikut telunjuk suami dan segala kerja rumah terpaksa diuruskan sendiri walaupun keletihan seharian bekerja di pejabat.

Win Nee pula bernasib baik kerana Kheng Hun anak lelakinya suka membantu isteri dalam segenap perkara. Rajin di dapur malah siap mengemas rumah lagi. Kerana itu dia kerap merintih menyesali nasib anak perempuannya yang jauh berbeza dengan nasib Win Nee.

Win Nee membeli beberapa barangan sebagai persiapan terakhir menjelang Tahun Baharu Cina. Selepas itu dia terus pulang ke rumahnya. Kebiasaannya dia akan makan bersama-sama di rumah ibu mentuanya. Namun hari itu seleranya tertutup. Dia pulang dengan kepiluan di hati.

Malam itu semua orang bergembira, menunggu tiba hari bahagia. Tetapi tidak bagi Win Nee. Dia masuk ke kamar tidur lebih awal daripada biasa. Bunyi mercun berdentam-dentum tetapi tidak membawa sebarang erti bagi Win Nee.

Sikap ibu mentua yang suka memuja-muji anak perempuannya menyebabkan Win Nee berjauh hati. Namun di sebalik puji-pujian terhadap anak perempuan bongsunya itu, dia tetap datang ke rumah Kheng Hun dengan alasan anak perempuannya itu terpaksa bekerja sehingga jauh malam.

Apabila berada di rumah Kheng Hun, orang tua itu sengaja mencari gaduh dan mengkritik itu ini. Dia terpaksa menghadapi kerenah orang tua itu dengan penuh sabar.

Kebahagiaannya seakan direntap sebaik sahaja dia mendengar orang tua itu akan datang menginap di rumahnya untuk beberapa malam. Kadang-kadang sebulan, kadang-kadang dua minggu. Setiap kali dia datang Win

Nee akan menjadi kekok dan serba tak kena. Kheng Hun sebenarnya mempunyai ramai adik-beradik, tetapi tidak semua yang dijengah orang tua itu. Sikapnya menyebabkan dia dijauhi oleh menantunya yang lain.

“Awak masih boleh singgah di rumah ibu saya?” Soal Kheng Hun setelah Win Nee memberitahu bahawa dia berhenti di rumah mentuanya memberikan orang tua itu sayur-sayuran dan kuih-muih.
“Ya, kenapa, awak hairan? Saya tetap akan melupakan perbuatannya terhadap saya walaupun disakiti berkali-kali.

“Saya cuba mengamalkan apa yang saya pelajari di wat selama ini. Mungkin inilah dugaan maha hebat yang ingin menguji saya.” Win Nee berterus terang.

Kheng Hun terdiam. Dia kehilangan kata-kata. Dalam benaknya dia berfikir, seandainya dia di tempat Win Nee dia tidak akan sesekali mengambil tahu tentang orang tua itu lagi. Apatah lagi membeli makanan untuknya.

Kheng Hun kasihankan Win Nee, yang sering berduka akibat tutur kata ibunya yang suka menyindir dan berkata buruk.

Sebenarnya sudah lama dia melarang Win Nee datang ke rumah ibunya walaupun pada hari memperingati leluhur datuk neneknya. Namun Win Nee berkeras dengan alasan dia mahu sembahyang dan menghormati orang yang sudah meninggal dunia, bukannya mengadap orang yang masih hidup.

Ingatan Kheng Hun melayang pada kejadian sebulan lalu. Betapa kemarahan ibunya terhadapnya sehingga diungkit-ungkit tentang kesakitan sewaktu melahirkan Kheng Hun. Kheng Hun yang ketika itu dalam perjalanan menghantar ibunya pulang ke rumahnya, meminta Win Nee untuk memimpin ibunya sampai ke muka pintu.

Win Nee yang patuh pada suruhan suaminya telah menghulurkan tangan untuk memimpin tangan orang tua itu tetapi ditepis oleh ibu mentuanya. Sambil mulut orang tua itu tidak henti-henti membebel marahkan Kheng

Hun. Win Nee cuba sekali lagi menghulurkan tangannya untuk memimpin orang tua itu tetapi tetap ditepisnya.

“Bukan anak aku.” Serentak itu orang tua itu melemparkan raga yang berisi sirih pinang, ubat-ubatan yang dibawa ke mana saja dia pergi.
Win Nee tunduk mengutip barangan yang termuntah keluar daripada raga tersebut sambil mengeluh perlahan. Dia terkilan dengan kata-kata ibu mentuanya. Selama ini dia menganggap orang tua itu tidak ubah seperti ibu kandungnya sendiri sebagaimana diajari oleh mendiang ibunya.

“Mak tidak terima saya sebagai anak mak? Tak mengapalah kalau begitu.” Terpacul pertanyaan hampa daripada bibir Win Nee. Hatinya disayat sembilu. Lukanya bertambah dalam.

“Menantu sahaja. Kau tidak pandai menasihati suami, tidak pernah meminta suami menghormati aku sebagai ibu kandungnya,” jawabnya dengan muka kelat.

Wajah berkedut seribu itu tidak pernah tampak ceria pada pandangan Win Nee. Dia tidak tahu bagaimana lagi untuk membahagiakan wajah tua itu. Dia sudah berusaha sehabis daya namun gagal.

Mereka duduk di atas pangkin setelah sampai di hadapan rumah orang tua itu. Pandangan perempuan tua itu dilemparkan ke arah jalan raya yang sedang sibuk dengan kenderaan lalu lalang.

Daripada cermin tingkap keretanya, Kheng Hun memerhatikan apa yang berlaku antara isteri dan ibunya walaupun dia tidak mendengar butir bicara mereka. Tetapi dia nampak dengan jelas bagaimana ibunya menarik tangan daripada dipimpin serta membuang raganya ke tanah. Hatinya panas melihat kelakuan kasar ibunya terhadap isterinya itu.

“Mak kan selalu cakap, perangai Kheng Hun tidak ubah seperti mendiang ayah. Setiap katanya harus diikut.

“Ayah dulu pun tidak pernah mendengar kata mak selama ini. Jadi, tak kan mak tidak tahu. Nak nasihat apa lagi kalau dia tidak mendengar kata,” kata Win Nee seribu kesalan.

Sebenarnya sudah berbuih mulut Win Nee meminta suaminya untuk tidak menyanggah kata-kata orang tua itu. Biar dia cakap apa sekali pun. Tak guna diberi nasihat. Paling-paling diri sendiri akan dimarahi dan dikata anak tidak mengenang budi orang tua.
Namun Kheng Hun berdegil. Walaupun begitu, Kheng Hun lah yang lebih mengambil berat tentang ibunya. Selang sehari dua dia akan datang bertanya khabar. Membelikan apa-apa barangan yang diperlukan oleh orang tua itu.

“Mak, Wei Wei telah terpilih melanjutkan pelajaran ke China awal bulan depan,” dengan wajah ceria Win Nee cuba menyampaikan khabar gembira dengan hasrat kegembiraan itu boleh dikongsi bersama.

“Tu menyohor bukan main lagi, cananglah di media sosial…bagi semua orang tahu anak kita tu cerdik.”

Win Nee sungguh tidak menyangka itu reaksi daripada ibu mentuanya. Sedarlah dirinya bahawa air dan minyak tidak mungkin bercampur. Air tetap air dan minyak tetap minyak.

Win Nee terkenangkan mendiang kedua ibu bapanya, andai mereka masih hidup betapakah mereka turut gembira atas kecemerlangan anak Win Nee. Semua anaknya berjaya memperoleh pekerjaan yang bagus-bagus. Win Nee mengesat-ngesat air mata yang tumpah lagi.

“Mak, kenapalah mak selalu marahkan saya. Kesalahan apa yang telah saya lakukan. Kalau mak nak hukum saya, hukumlah. Saya rela.

“Saya sedih mak. Saya anak yatim piatu. Saya sekarang hanya punya mak seorang untuk saya bawa berbincang atau merujuk sesuatu perkara. Saya mahu menumpang mak.”

Terpacul kata-kata daripada Win Nee akibat tidak mampu menahan diri setelah orang tua itu memarahinya lagi pada suatu hari.

Win Nee dan suami bercadang untuk bercuti selama dua minggu di China setelah menghantar anak bongsu mereka belajar di sana. Dua anaknya yang lain ikut serta. Jika bukan menghantar anak tidaklah mereka meninggalkan tanah kelahiran sebegitu lama.

Win Nee mengambil peluang itu untuk mendamaikan jiwanya yang sekian lama terpenjara oleh sengsara. Melihat negara orang yang begitu berbeza sekali dengan tanah kelahiran. Muncul ilham-ilham yang kritis untuk dia berkarya. Selama di situ Win Nee sempat mengarang beberapa kuntum puisi yang puitis.

Belum pun tamat percutian di situ Kheng Hun telah menerima panggilan telefon kecemasan daripada adik perempuan bongsunya. Tidur mereka tidak lena menyebabkan pagi-pagi lagi Kheng Hun terpaksa menempah tiket untuk kembali ke Malaysia.

“Pulang segera. Mak asyik menyeru nama abang dan kakak ipar. Mak luka parah setelah terjatuh di dalam bilik air semalam.” –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×