Ketajaman deria rasa menghayati puisi

Ketajaman deria rasa menghayati puisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Membaca sesebuah kumpulan puisi memerlukan ketajaman deria rasa untuk menangkap nilai estetika puisi yang dihasilkan oleh penulis tersebut.

Rasa yang dimaksudkan adalah menangkap keindahan kata-kata yang disusun dalam setiap baris puisi atau sajak. Keindahan kata-kata ini menimbulkan kepuitisan dengan nilai-nilai metafora dan falsafah yang mampu menguji pemikiran.

Seorang penulis atau penyajak yang baik ialah yang banyak menulis menggunakan perlambangan atau metafora sebagai perbandingan dalam kehidupan.

Dengan menggunakan perlambangan, sesuatu karya sastera itu akan menjadi wacana pemikiran yang berharga biarpun zaman terus berubah kerana pemikiran yang terkandung dalam karya tersebut sentiasa digali oleh pengkaji khususnya pengkaji sastera.

Seorang penulis sajak, bebas menulis dalam sebarang bentuk, namun nilai estetika puisi akan menjadikan penulis menghayati ketika menulis dan pembaca dapat mengesan keindahan puisi ketika membaca. Puisi yang baik akan menjadi wahana dan wacana khazanah sastera bangsa.

Menurut Dharmawijaya bahawa estetik atau keindahan puisi biasanya dihubungkan dengan daya guna bahasa, iaitu keupayaan penguasaan bahasa dan ketajaman rasa terhadap alam serta persekitaran untuk menjelmakan pengalaman jiwa seseorang penyair.

Inilah yang ditemui ketika membaca kumpulan puisi “Tentang Hati Mawarku” (THM) karya Maroof Seman RS. Setelah hampir 41 tahun Maroof bergelumang dalam jagat sastera, THM adalah buku kumpulan puisinya yang pertama yang diterbitkan oleh Bingkas Kebayan, 2024.

Selama ini Maroof merupakan penggiat seni yang progresif serta aktif khususnya dalam puisi dan teater sejak 1983. Apatah lagi Maroof pernah dinobatkan Johan Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan 1997. Malah sebelum itu, meraih Johan peringkat negeri sebanyak tujuh kali (1987-1997) dan Naib Johan Peringkat Kebangsaan sebanyak dua kali (1989 dan 1996).

Maroof juga telah berlakon dalam puluhan drama pentas, pembacaan cerpen dan improvisasi sehingga menjelajah ke seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.

Kumpulan puisi THM ini mengumpulkan sebanyak 50 puisi yang dibahagikan kepada enam bahagian tajuk. Satu (Serigala), Dua (Apa khabar Pak Sidang), Tiga (Ya, Bukalah Jendela Itu), Empat (Belayarlah Dengan Perahu Merdekamu), Lima (Marilah Bermain Politik) dan Enam (Tentang Hati Mawarku).

Apakah kesemua 50 puisi itu memerlukan ketajaman deria rasa? Tidak dinafikan sesebuah puisi dapat difahami apabila ditulis menggunakan bahasa mudah atau dalam bahasa sasteranya, prosaik.

Namun mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca begitu mendalam sekali dan mencabar pemikiran. Justeru, jelas kumpulan puisi ini menggambarkan pemikiran penulis yang ingin menyatakan pendapat atau pandangan secara jujur dan tulus tanpa mengabaikan ciri-ciri sastera yang baik dan indah dan mencabar fikiran pembaca.

Menurut Rahman Shaari puisi pencabar fikiran adalah yang menuntut pembaca mendapatkan makna yang meyakinkan.

Sajak yang mencabar fikiran adalah sajak yang memuatkan idea bernas. Akan tetapi, idea dalam sajak yang mencabar fikiran selalunya tersembunyi di sebalik pemilihan kata dan pembinaan baris. Hal inilah mendorong pembaca untuk berfikir dengan lebih lama.

Justeru, ditemui beberapa puisi dalam THM ini yang mencabar fikiran untuk memahami maksud puisi.

Secara tidak langsung pembaca memerlukan ketajaman deria rasa untuk memahami maksud tersirat yang ingin disampaikan oleh penulis.

Memang tidak dinafikan, puisi yang baik adalah puisi yang bahasanya mempunyai nilai-nilai estetik. Yang apabila dibaca mempunyai maksud yang berlapis-lapis.

Antara puisi-puisi yang mencabar fikiran adalah Nota Kaki, Selayun, Belayarlah dengan Perahu Merdekamu, Ke Negeri Satu, dan Lelaki Subuh (sekadar menyebut beberapa contoh puisi).

Berikut adalah sebuah puisi yang dijadikan tajuk buku kumpulan puisi ini yang bertajuk Tentang Hati Mawarku.

Tentang hatimu
usah kaulupa jantungku.

Rukun hidup
kekalkan di rumah kita
dengan bahagia.

Doa dengan khusyuk mustajab
iman sempurna.

Pilihlah mentelaah
ilmu itu yang manfaat
rajin beribadah
rezeki halal.

Jiwa yang tenang
sihat yang berterusan
usia berkat.

bimbinglah aku
jangan menjadi celaru keliru.

Dijadikan Allah akan insan
untuk kita melihat
makna kewujudan.

Dia melihat.

Apakah tema puisi ini? Adakah puisi ini tentang cinta dan kasih sayang? Atau puisi ini tentang ketuhanan? Di sinilah memerlukan ketajaman deria rasa untuk menghayati keseluruhan isi puisi ini. Siapakah ‘Mawar’ yang dimaksudkan oleh penulis? Orang yang disayangi? Atau Allah yang Maha Esa?
Jelas puisi di atas menggambarkan seseorang yang akrab dengan penulis yang sudah pasti bergelar isteri dan dikaitkan dengan Allah yang Maha Berkuasa melihat tingkah laku manusia yang pelbagai sifatnya.
Diperturunkan sebuah lagi puisi bertajuk Dengan Mata Hati. Bahasanya mudah tetapi falsafah yang ingin disampaikan terlalu mendalam buat insan bernama manusia.

Zikir itu pasti
menyelami
mata hati.

Doa itu mesti
menuju ke rumah-Nya
munajat
usah henti.

Muhasabah diri itu mantera
elak dendam kesumat
jauh dosa
banyakkan pahala
selagi denyut masih ada.

Iman dan takwa
ikhtiar dan sabar
rasikan jiwa
uzlah.

Takdir kita
di tangan-Nya
syurga atau neraka
putih atau hitam
harga terakhir
sebuah amal hidup insan.

Kesimpulannya, ketajaman deria rasa amat diperlukan ketika menghayati puisi meskipun bahasa yang disusun oleh penulis pelbagai bentuk dan gaya. Sama ada bahasa prosaik atau bahasa yang mengundang pembaca berulang-ulang kali membaca untuk memahami maksud yang terkandung dalam puisi tersebut.
Puisi yang memiliki nilai estetik tinggi mampu memikat pembaca dari pelbagai latar belakang waima seorang perdana menteri pun yang sememangnya meminati membaca dan menghayati puisi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×