Bersihkan UMNO daripada perbuatan 'sakau-menyakau' - Yussof Latiff

Bersihkan UMNO daripada perbuatan ‘sakau-menyakau’ – Yussof Latiff

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pemimpin UMNO harus membersihkan parti itu daripada sebarang perbuatan ‘sakau-menyakau’ terutamanya melibatkan harta parti jika mahu kekal relevan dalam kalangan masyarakat.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, tidak dapat dinafikan setelah parti itu menjadi kaya-raya, terdapat beberapa pemimpin yang mengaut kesenangan dengan menjadi penyakau harta milik UMNO.

“Perbuatan sakau ini berlaku selepas UMNO direlakan oleh pemimpin-pemimpin ketika itu dibatalkan (diharamkan) oleh mahkamah pada Februari 1988.

“Sebagai veteran UMNO, saya menggesa supaya mereka yang menyakau kekayaan milik orang Melayu ini bertanggungjawab atas perbuatan mereka,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yussof berkata, kepimpinan UMNO juga digesa menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan dan menyiasat semua penyakau terbabit selain meminta mereka menyerahkan semula harta milik UMNO.

“Semua pemimpin dan anggota UMNO perlu berani untuk membersihkan parti keramat ini daripada sebarang kekotoran akibat rasuah dan salah guna kuasa sebagai satu semangat baharu sempena menyambut Ulang Tahun UMNO yang ke-78 tahun ini.

“Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpin-pemimpinnya juga harus berjiwa besar untuk menerima teguran dan kritikan.

“Malah mereka perlu berundur jika mereka dinasihat, diminta mahupun didesak untuk berbuat demikian demi menyelamatkan parti kesayangan orang Melayu ini,” katanya.

Tambah Moha. Yussof, UMNO mesti terus aktif dalam masyarakat agar parti itu kekal relevan sebagai sebuah parti politik orang Melayu yang berjuang demi agama,bangsa dan negara buat selamanya.

Dalam pada itu, UMNO yang genap usianya 78 tahun hari ini sebenarnya masih kuat dan mampu untuk berdiri megah sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu untuk agama, bangsa dan negara.

“Merenung kejayaan UMNO selama 78 tahun, selain daripada menjadi parti pemerintah, parti ini telah melahirkan ramai generasi muda yang berpelajaran serta berdaya maju.

“UMNO juga telah banyak menabur jasa kepada orang Melayu dan menerusi konvensyen UMNO pada awal 70-an sehingga lahirlah Maktab Mara (Majlis Amanah Rakyat), UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan kolej-kolej profesional Mara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×