HULU SELANGOR: Pengundi warga emas di Kuala Kubu Baharu berharap bakal wakil rakyat yang terpilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah seorang yang berintegriti dan prihatin terhadap nasib rakyat.
Pengundi, Rohana Osman, 62, berkata, dia bersemangat untuk keluar mengundi bagi memilih pemimpin baharu yang dapat menjaga penduduk Kuala Kubu Baharu.
“Jadi semoga kita dapat tukar pemimpin baharu yang dapat menjaga rakyat terutama orang-orang susah di sini seperti ibu tunggal dan kumpulan B40.
“Kita ini di dalam kesusahan tetapi mungkin orang-orang ‘besar’ tidak tahu mengenai masalah dihadapi. Jadi kalau boleh kita mahukan pemimpin yang bertanggungjawab, tidak kira siapa pun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia
Untuk rekod, sebanyak 39,352 pengundi akan keluar mengundi hari ini bagi menentukan kemenangan dalam persaingan empat penjuru di PRK Kuala Kubu Baharu.
Pengundi akan dalam kalangan empat calon iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Dalam pada itu, Rosli Sarif, 75, berkata, dia sanggup menaiki kerusi roda sejauh 500 meter untuk membuang undi.
Kata Rosli, semangatnya itu kerana sedar bahawa PRK Kuala Kubu Baharu akan menjadi penentu nasib rakyat di sini pada masa akan datang.
“Makin lama makin teruk keadaan kita, keadaan (ekonomi) pun tidak berapa stabil lagi. Dulu semuanya mudah, sekarang hendak dapat rawatan pun susah. Sebab itulah, turun mengundi penting untuk bangsa dan tanah air kita.
“Kepada orang muda, fikirlah sebaik-baiknya sebelum mengundi, kerana ini merupakan masa depan kita bersama,” katanya. – UTUSAN








