SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao mengangkat sumpah sebagai ADUN Baharu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau mengangkat sumpah sebagai ADUN baharu di hadapan Speaker, Lau Weng San apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut pada Mei lalu.
Sock Tao ketika ditemui berkata, beliau bersedia membawa suara rakyat khususnya bagi Kuala Kubu Baharu dan memberikan jaminan untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk pembangunan kawasannya.
Sebelum ini, saya sudah hantar soalan kepada dewan iaitu soalan bertulis dan lisan berkenaan pembangunan di kawasan industri di Serendah dan Hulu Selangor dan juga perancangan untuk Tahun Melawat Selangor 2025.
“Selain itu saya juga bertanya tentang Bas Smart Selangor serta bagaimana kita hendak tangani pencemaran di kawasan yang wujud di Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Sock Tao menewaskan seteru utama PH iaitu Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan Khairul Azhari Saut yang memperolehi undi sebanyak 8,910, serta dua calon lain iaitu calon bebas, Nyau Ke Xin (168) dan Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) (136)
Menerusi perebutan kerusi DUN N.06 itu, Sock Tao berjaya meraih kira-kira 3,869 majoriti, sekali gus membolehkan PH mempertahankan kerusi yang dimenangi mendiang Lee Kee Hiong sejak 2013.
PRK Kuala Kubu Baharu diadakan apabila kerusi kerusi itu diisytihar kosong oleh Speaker Dewan Negeri Selangor selepas penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong memperoleh 14,862 sekaligus berjaya mempertahankan kerusi tersebut yang dimenanginya sejak 2013 dengan 4,119 majoriti. – UTUSAN










