PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mengekalkan rentak konsistennya pada pusingan kedua Red Bull MotoGP Rookies Cup, selepas dia menempah petak ketiga sesi kelayakan di Litar Le Mans, Perancis, tengah malam tadi (waktu Malaysia).
Hakim Danish mencatat masa sepusingan 1 minit 44.604 saat (s) iaitu hanya dipisahkan +0.374 di belakang pelumba Sepanyol, Maximo Quiles yang mencipta masa terpantas 1:44.230s, manakala, Rico Salmela dari Finland di kedudukan kedua dengan lakaran masa 1:44.258s.
Alvaro Carpe juga dari Sepanyol berada di kedudukan ketiga dengan catatan sepusingan 1:44.475s, namun, pelumba berusia 16 tahun itu dikenakan penalti yang mengakibatkannya terpaksa memulakan perlumbaan 1 di grid keenam.
Ekoran hukuman tersebut, Hakim Danish pada awalnya bermula di petak keempat akan memulakan aksinya di petak ketiga pada perlumbaan 1 yang bermula pada pukul 11 malam (waktu Malaysia), hari ini.
Hakim Danish berkata, dia berjaya memperbaiki prestasinya semasa sesi kelayakan selepas beberapa kesilapan dilakukannya pada sesi latihan pertama.
“Pada sesi latihan pertama saya mendapat kedudukan ketujuh, saya mendapat rentak saya balik di trek ini dan juga keserasian dengan motosikal saya.
“Namun, saya perlu perbaiki gaya tunggangan supaya lebih laju di laluan masuk selekoh dan disebabkan saya terlalu memaksa jentera memacu lebih laju, saya hilang kawalan sedikit,” katanya menerusi kiriman video dari Le Mans.
Menurut Hakim Danish, pada sesi latihan kedua, dia berjaya memperbaiki persembahannya dan berada di kedudukan ketiga.
Jelasnya, keputusan konsisten itu berjaya dikekalkan sehingga sesi kelayakan dan catatan masa keempat terpantas memadai untuknya berada pada kedudukan kompetitif.
“Pada kelayakan saya mencatat masa keempat terpantas, tetapi, untuk perlumbaan, esok (malam ini) saya akan berada di petak ketiga pada perlumbaan 1 sebab Carpe dikenakan penalti dan perlumbaan 2 saya akan kembali di petak keempat.
“Sewaktu kelayakan saya dapat memacu laju jentera dengan baik dan berharap dapat kekalkan momentum saya untuk perlumbaan esok (hari ini),” ujarnya.
Anak jati Kuala Terengganu itu yang muncul naib juara pada perlumbaan 2 di Litar Jerez, Sepanyol, dua minggu lalu, berpeluang cerah mengulangi pencapaian tersebut jika berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan dan tidak melakukan sebarang kesilapan yang memungkinkan dia dikenakan penalti. – UTUSAN










