Bayi mati tersedak susu: Suami isteri saman pengasuh

Bayi mati tersedak susu: Suami isteri saman pengasuh

MOHD. Rafi Abd. Razak dan Anis Amalina Mazlin hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kes tuntutan saman terhadap dua pengasuh yang didakwa cuai menyebabkan bayi mereka meninggal dunia akibat tersedak susu. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Se­syen di sini semalam membenarkan permohonan sepasang suami isteri untuk memasukkan penghakiman ingkar dalam tuntutan saman terhadap dua pe­ngasuh anaknya yang didakwa cuai menjaga bayi perempuan sulung mereka berusia tiga bulan yang meninggal dunia akibat tersedak susu, tahun lalu.

Hakim Zawiyah Saad membenarkan permohonan Mohd. Rafi Abd Razak, 26, dan isterinya, Anis Amalina Mazlin, 28, selaku plaintif terhadap dua pengasuh masing-masing berusia 58 dan 35 tahun itu sebagai defendan dalam saman yang difailkan pa­da 9 April lalu.

Peguam Muhammad Hariz Md. Yusoff yang mewakili pasa­ngan suami isteri itu ketika ditemui selepas prosiding berkata, mahkamah merekodkan penghakiman ingkar pada 7 Mei lalu dan membenarkan tuntutan yang difailkan plaintif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anak guam kami telah memfailkan saman mengikut prosedur dan teratur, namun defendan lewat memasukkan kehadiran dan hanya melantik peguam selepas penghakiman ingkar direkodkan mahkamah,” katanya.

Menurut peguam itu, setakat ini tarikh baharu bagi prosi­ding seterusnya akan diketahui nanti.

Terdahulu berdasarkan tuntutan saman yang difailkan plain­tif, pasangan itu mendakwa pada 15 Jun 2023, plaintif pertama iaitu bapa bayi itu menghantar anaknya ke rumah defendan sekitar pukul 6.48 pagi.

Namun pada pukul 11.40 pagi hari yang sama, lelaki itu menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan bahawa anaknya dalam keadaan lemah dan tidak bernafas sambil menggesa plaintif untuk pulang segera.

Bapa si mati turut memaklumkan kepada pengasuh itu su­paya menghubungi pihak am­bulans dengan kadar segera ba­gi mendapatkan bantuan peru­batan segera terhadap si mati.

Dalam perjalanan pulang, plaintif telah menghubungi defendan bagi mendapatkan status keberadaan anaknya dan telah dimaklumkan oleh de­fen­dan bahawa si mati telah diambil oleh ambulans namun tiada maklumat si mati dibawa ke hos­pital mana.

Hal itu telah menyebabkan plaintif pertama terpaksa bergegas pergi ke hospital berdekatan iaitu Hospital Putrajaya.

Plaintif mendakwa defen­dan-defendan tidak menemani anak­nya membiarkan mangsa ber­seorangan dalam ambulans ser­ta tidak mengambil peduli keberadaan atau hala tuju kendera­an tersebut yang menunjukkan bahawa defendan tidak peduli keadaan anaknya ketika itu.

Pihak Hospital Putrajaya kemudian mengesahkan anaknya pada masa material sudah tidak bernafas meskipun bantuan kecemasan telah diberikan oleh pihak hospital dan mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 12.17 tengah hari pada hari yang sama.

Mengikut maklumat, plaintif dimaklumkan bahawa keadaan perut anaknya pada masa material dipenuhi dengan susu apabila terdapat banyak susu yang keluar melalui mulut dan hidung si mati ketika bantuan kecemasan diberikan.

Justeru, plaintif-plaintif memplidkan bahawa kematian si mati adalah disebabkan tindakan pengabaian dan kecuaian defendan yang memberi susu secara berlebihan kepada si mati tanpa pantauan dan perhatian yang penuh dan rapi oleh defendan-defendan.

Plaintif-plaintif menuntut ganti rugi lebih RM100,000 daripada kedua-dua defendan yang mana antaranya ganti rugi kesedihan, ganti rugi khas selain faedah yang dianggap sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini