39,362 pengundi DUN Kuala Kubu Baharu pilih siapa?

39,362 pengundi DUN Kuala Kubu Baharu pilih siapa?

PETUGAS membuat persiapan untuk menghadapi hari mengundi PRK Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, Selangor. – UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Tempoh 14 hari berkempen memperkenalkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berakhir semalam dan hari ini seramai 39,362 daripada 40,226 pengundi akan membuat keputusan.

Sebanyak 18 pusat mengundi di 16 pusat daerah mengundi (PDM) dibuka melibatkan 74 saluran dan peti undi dibuka untuk menerima undian daripada pengundi yang berdaftar sehingga Mac lalu.

Terdapat dua PDM mempunyai lebih daripada satu pusat mengundi iaitu pertama, Pertak melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser (tapak lama) yang menempatkan jumlah pengundi pa­ling sedikit iaitu 40 orang.

Malah, pusat mengundi di sekolah tersebut adalah paling singkat dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang berbanding tempat lain sehingga 6 petang.

Dua lagi pusat mengundi di bawah PDM tersebut ialah Pusat Pembangunan Pendidikan dan Nutrisi Kampung Pertak dan Tadika Kemas Kampung Gerachi Jaya.

Kedua, PDM Bandar Utama Batang Kali yang mempunyai dua pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Utama Batang Kali.

Pengundi di kedua-dua kawasan tersebut adalah paling ramai iaitu masing-masing 3,183 dan 5,889 dengan jumlah ke­seluruhan 9,072 orang melalui 15 saluran termasuk tiga untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, SJKC Rasa menjadi pusat mengundi bagi dua PDM iaitu Jalan Kuala Kali dan Kampung Baharu Rasa masing-ma­sing menepatkan pengundi sebanyak 3,784 dan 1,654 orang.

Sebanyak 760 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlibat.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak menyeru para pengundi membuat persediaan awal sebelum keluar mengundi dengan menentukan dokumen yang perlu dibawa iaitu MyKad selain membuat semakan di MySPRSemak terlebih dahulu sebelum menuju pusat mengundi.

Menurutnya, semakan awal tersebut bagi membolehkan pengundi mengenal pasti pusat mengundi masing-masing termasuk menentukan saluran dan nombor bilangan mereka.

“Kemudian hadir ke pusat mengundi seperti dicadangkan untuk mengelak kesesakan berlaku di pusat mengundi. Namun, pengundi bebas untuk mengundi dalam tempoh dibenarkan antara pukul 8 pagi hingga 6 petang,” katanya semalam.

PRK Kuala Kubu Baharu me­libatkan pertembungan empat penjuru iaitu Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Khairul Azhari Saut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×