BEGITU indahnya bumi ciptaan Allah. Itulah yang terdetik di hati saya tatkala pertama kali menjejak bumi di bawah bayu pada hari Rabu, baru-baru ini, bagi menghadiri Persidangan Wikimedia ESEAP 2024 yang sedang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
Terpegun saya melihat panorama yang begitu indah dengan kilauan air laut yang membiru sejak dari kapal terbang hingga ke saat memasuki bilik hotel yang terletak di pinggiran Laut China Selatan itu.
Menerima jemputan menyertai persidangan antarabangsa ESEAP ialah satu hadiah yang begitu berharga bagi saya. Sebagai pelajar, kesempatan menyertai persidangan seperti ini akan membuka ruang yang luas bukan sahaja untuk mempelajari banyak perkara baharu tetapi juga untuk mula mengembangkan rangkaian ke peringkat antarabangsa.
Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Kita mesti berusaha dan terus berusaha untuk mencapai sesuatu yang kita cita-citakan dan banyak juga perkara yang harus kita korbankan demi kejayaan kita pada masa depan.
Saya harus bijak mengatur waktu dan membahagikan masa agar aktiviti luar yang saya ceburi tidak mengganggu pelajaran di universiti. Untuk itu, kita perlu bekerja dengan lebih kuat serta sanggup mengorbankan masa rehat dan masa bersantai bersama teman-teman.
Masih banyak yang perlu saya pelajari tentang kaedah mengatur kerja secara cekap dan teratur. Mencuba sedaya upaya memanfaatkan waktu, saya menggunakan masa menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan masa penerbangan selama dua setengah jam itu untuk menghabiskan kerja-kerja yang perlu disiapkan menjelang hari persidangan.
Jauh perjalanan, luas pengalaman. Sememangnya banyak yang dapat kita pelajari daripada aktiviti yang dilakukan di luar dewan kuliah, apatah lagi apabila berpeluang melawat tempat-tempat baharu. Pengalaman begini akan lebih mematangkan pemikiran, mencetuskan idea baharu serta membuka minda agar dapat berfikir di luar kotak.
Namun, pada waktu yang sama kita juga harus sedar akan tanggungjawab sebagai pelajar yang perlu diutamakan. Justeru, saya selalu cuba mengingatkan diri sendiri agar berhati-hati bagi mengelakkan aktiviti luar mengganggu pelajaran saya.
Minggu lalu, saya ditawarkan mengikuti beberapa program khas untuk mahasiswa yang saya kira menarik, di luar universiti. Seperti biasa, sebelum membuat keputusan, saya mempertimbangkan dahulu manfaat yang akan saya peroleh daripada menghadiri program-program tersebut.
Hal ini memandangkan walaupun diberi pelepasan oleh pihak universiti, namun saya tetap merasa ralat setiap kali terpaksa meninggal kelas yang kesemuanya sangat saya minati. Pada masa yang sama, peluang menyertai program ilmiah amat bermanfaat kepada mahasiswa.
Saya tidak salah apabila memilih untuk hadir ke program Syarahan Tokoh Unggul Kelima Berkaitan Kesejahteraan Belia oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berlangsung awal minggu lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM). Banyak perkara yang beliau kupas begitu bermanfaat dan menarik untuk ditaakul oleh belia, khususnya mahasiswa.
Bagi yang sering bercakap tentang pentingnya memperkasakan dan memupuk sifat keintelektualan dalam diri mahasiswa, pentas-pentas intelektual beginilah yang patut dihadiri bagi mengasah minda dan memberi idea bernas demi menyumbang kepada kesejahteraan belia.
Dalam syarahan tersebut, antara perkara yang menarik perhatian saya ialah apabila Menteri Pendidikan menyentuh soal aktivisme pelajar. Kata beliau, aktivisme biarlah dipilih secara bijaksana dan berhemah, satu pesanan yang penting untuk saya renungkan demi kebaikan diri.
Lebih menarik, syarahan yang bertajuk, Penerapan Empati dan Ihsan Menerusi Pendidikan adalah bertepatan dengan aspirasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) seperti mana yang sering dikupas oleh Rektornya, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Berkali-kali Fadhlina menekankan akan pentingnya memupuk sifat empati dan belas kasihan serta menanam sifat manusiawi ke dalam diri setiap pelajar. Memanusiawikan pendidikan juga sebahagian daripada elemen asas dalam pelaksanaan Kerangka Akademik Sejahtera UIAM dalam usaha untuk memanusiakan manusia.

HOLISTIK
Dalam menghadapi cabaran era pasca normal yang tidak dapat diduga, pelajar hari ini harus diperkasakan supaya mempunyai daya tahan yang kuat untuk menghadapi apa sahaja dugaan yang mendatang.
Fadhlina turut menekankan bahawa pendidikan seharusnya bersifat holistik dalam semua segi. Ia seharusnya menjadi proses membangunkan potensi manusia secara seimbang dan menyeluruh. Generasi muda juga harus mempunyai kemahiran sosial dan emosi yang merupakan elemen penting untuk mengukuhkan hubungan dan menyuburkan rasa kebersamaan dalam masyarakat.
Tidak sepatutnya ada jurang yang memisahkan hubungan di antara belia dan golongan dewasa. Kita semua sepatutnya dapat duduk semeja berbincang secara intelektual serta terbuka untuk menerima pendapat masing-masing dalam menentukan langkah terbaik menuju ke hadapan.
Sifat mengasing-asingkan masyarakat menurut umur atau yang saya sering sebutkan sebagai ageism ini ialah topik yang telah berkali-kali saya kupas apabila bercakap tentang resipi hubungan sihat dalam masyarakat.
Masalahnya, ramai dalam kalangan orang muda, termasuk mereka yang sebenarnya tidaklah begitu muda, memandang rendah akan mereka yang dilabel sebagai ‘tua’, dan begitu juga sebaliknya.
Maka bagi mereka, hanya pendapat mereka sahaja yang relevan dan masing-masing tidak mahu mencari jalan tengah demi meruntuhkan jurang ini. Hal ini sangat merugikan dan menjadi di antara faktor yang menghalang kejayaan dasar pendidikan negara akibat pengekalan sistem pembelajaran yang tidak lagi kondusif dan bersesuaian serta ketinggalan zaman.
Tegas Fadhlina, pendidikan bukanlah proses mencetak manusia berdasarkan acuan yang ditetapkan tetapi ia ialah proses memanusiawikan manusia. Ini bermakna bahawa kejayaan sistem pendidikan negara mesti dinilai secara menyeluruh termasuk daripada sudut pembentukan minda dan emosi yang kuat serta mempunyai sifat empati dan belas kasihan sesama kita.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










