MR D.I.Y sasar buka 180 kedai baharu tahun ini - Utusan Malaysia

MR D.I.Y sasar buka 180 kedai baharu tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, MR D.I.Y Group Bhd. (MR D.I.Y) mencatatkan untung bersih bernilai RM144.9 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat 13.4 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Prestasi memberangsangkan itu adalah daripada peningkatan hasil sebanyak 9.2 peratus kepada RM1.1 bilion, didorong terutamanya oleh pertumbuhan 15.4 peratus dalam kedai baharu.

Jumlah urus niaga meningkat sebanyak 15.8 peratus kepada 44.2 juta apabila syarikat terus mengembangkan rangkaian kedainya secara strategik merentas jenama terasnya, daripada 1,125 kedai pada suku pertama tahun lalu kepada 1,292 kedai pada 31 Mac 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, pihaknya terus melihat momentum kukuh dalam perniagaan dan teruja dengan permulaan kukuh bagi tahun kewangan 2024.

“Kami menjangkakan keputusan positif itu akan terus disokong dengan peningkatan sentimen pengguna dan peranannya sebagai peruncit pilihan pelanggan untuk keperluan harian.

“Rancangan pada 2024 adalah untuk mengukuhkan lagi kehadiran dengan membuka 180 kedai baharu pada 2024 dan melepasi sasaran kami sebanyak 2,000 kedai menjelang 2028,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pertumbuhan kukuh yang dicatatkan merentas semua petunjuk utama dan untuk beberapa tempoh, yang bukan saja mencerminkan kekuatan dan daya tahan model perniagaannya tetapi juga cadangan nilai yang menarik.

“Walaupun tekanan inflasi mungkin telah berkurangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kami sedar bahawa keadaan masih mencabar bagi kebanyakan isi rumah.

“Kami tetap komited untuk menjadikan barangan keperluan rumah harian mampu milik dan boleh diakses oleh semua,” katanya.

MR D.I.Y mengisytiharkan dividen sebanyak RM94.5 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2024, peningkatan 66.9 peratus berbanding suku pertama tahun kewangan 2023.

Dividen suku pertama tahun kewangan 2024 adalah bersamaan dengan nisbah pembayaran sebanyak 65.2 peratus daripada keuntungan bersih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×