KUALA TERENGGANU: Semua 510 masjid di Terengganu menunaikan solat sunat Istisqa’ bagi memohon hujan, hari ini, selaras dengan arahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Arahan solat sunat berkenaan dikeluarkan JHEAT ekoran cuaca panas atau fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Terengganu antara enam negeri dijangka mengalami cuaca panas 37 hingga 40 darjah Celsius untuk tempoh tiga bulan lagi.
Sementara itu, tinjauan di Masjid Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, mendapati lebih 500 jemaah mengerjakan solat sunat Istisqa’ selepas solat Jumaat.
Pengerusinya, Zakaria Dagang, berkata, solat sunat Istisqa’ tetap boleh ditunaikan meskipun cuaca sudah beransur baik dengan hujan sejak semalam.
“Sebaik terima arahan daripada JHEAT, pihak masjid terus membuat hebahan kepada ahli kariah untuk turut sama memohon hujan daripada Allah S.W.T.
“Solat sunat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan dengan tujuan khusus iaitu memohon agar diturunkan hujan apabila berlakunya kemarau.
“Hukumnya sunat muakkad ke atas orang yang bermukim, bermusafir, merdeka, hamba, baligh dan belum baligh, lelaki serta perempuan,” katanya. – UTUSAN










