Pertuduhan kes berkaitan filem Mentega Terbang kabur

Pertuduhan kes berkaitan filem Mentega Terbang kabur

MOHD. Khairianwar Jailani (tengah) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi permohonan untuk merujuk persoalan perlembagaan berkaitan filem Mentega Terbang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu, pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain yang dihadapi oleh penerbit dan pengarah filem kontroversi, Mentega Terbang adalah kabur dan tidak memungkinkan kedua-duanya mendapat perbicaraan yang adil.

Peguam N. Surendran berhujah, eleman kesalahan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang dihadapi Mohd. Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit Tan Meng Kheng, 37, tidak berperlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Perbuatan melukakan perasaan agama lain yang merupakan elemen penting di bawah Seksyen 298, tidak tertakluk di bawah sekatan ‘ketenteraman awam’ yang terkandung dalam Perkara 10(2)(a).

“Jika seksyen itu diisytiharkan melanggar Perlembagaan, maka pertuduhan terhadap anak guam saya terbatal dan tiada kes terhadap mereka,” ujar beliau.

Peguam berkenaan berhujah demikian ketika mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk persoalan perlembagaan berkaitan keabsahan Seksyen 298, ke Mahkamah Tinggi.

Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang mengandungi perkataan melukakan agama orang lain adalah melanggar Perkara 10(1)(a) dan seharusnya terbatal dan diisytiharkan tidak berperlembagaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berhujah agar mahkamah menolak permohonan yang dibangkitkan oleh kedua-dua pemohon.

Beliau berhujah, persoalan perlembagaan yang dibangkitkan itu tidak perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi kerana ia bukan persoalan yang sukar, sebaliknya boleh diputuskan pada akhir perbicaraan.

“Permohonan rujukan ini adalah pramatang dan akademik pada peringkat ini kerana persoalan ditimbulkan walhal bicara belum bermula.

“Persoalan itu dibangkitkan berdasarkan anggapan semata-mata dan bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan. Saksi masih belum dipanggil memberi keterangan,” ujar beliau.

Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim menetapkan keputusan diumumkan pada 14 Jun.

Pada 17 Januari lalu, penulis skrip, Mohd. Khairianwar, 32, dan Meng Kheng, 37, (penerbit) didakwa atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa dengan sengaja melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Semarak Api 2 di sini pukul 12.34 tengahari pada 26 Februari 2023.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×