KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di semalam menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang terhadap larangan tayangan dan publisiti filem itu.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu berhubung permohonan dikemukakan peguam N. Surendran, mewakili pengarah, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbit, Tan Meng Kheng.
N. Surendran berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah.
“Malangnya hakim menolak semakan kehakiman dan beliau tidak memberikan sebarang alasan, tetapi alasan akan dikemukakan apabila kami memfailkan rayuan itu nanti,” kata peguam itu ketika ditemui media selepas tamat prosiding.
Turut hadir, Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan selaku responden.
Terdahulu, Surendran mewakili pengarah dan penerbit filem, memohon Mahkamah Tinggi membatalkan larangan itu.
Beliau turut memohon agar mahkamah mengisytiharkan Akta Penapisan Filem sebagai tidak berperlembagaan, malah menyatakan tindakan melarang tayangan filem berkenaan, tidak bersifat rasional.
Larangan tersebut katanya, menyalahi menyalahi undang-undang kerana ia melarang hak anak guamnya untuk kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 daripada Perlembagaan Persekutuan.
KDN sebelum ini mengharamkan tayangan dan publisiti filem tersebut yang dibuat menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023, ditandatangani oleh menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – UTUSAN










