SEREMBAN: DAP yakin mampu mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung esok.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP bersama gabungan kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan telah melakukan yang terbaik bagi memastikan kemenangan kali ini.
Beliau berkata, terpulang kepada pengundi membuat penilaian dan paling penting peratusan keluar mengundi tinggi pada PRK Kuala Kubu Bharu esok.
“Sudah tentu kami ada keyakinan (untuk menang) dan kami harap keyakinan itu dapat diterjemahkan (pada hari pengundian).
“Kami telah buat segala yang terbaik, terpulang kepada rakyat sekarang ini. Hari ini hari terakhir berkempen dan semalam kami telah adakan ‘Grand Finale’, pimpinan dari semua parti sudah hadir dan kami telah melakukan kempen yang terbaik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini.
Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, pada tahun telah meluluskan peruntukan pembinaan projek dewan sekolah berkenaan sebanyak RM324,668.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertandingan empat penjuru susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, dari parti DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu akibat kanser.
DUN Kuala Kubu Bharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung cadangan syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk memulakan semula pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang telah dilaporkan hilang selama 10 tahun sejak 8 Mac 2014.
Jelas beliau, perkara itu memerlukan kelulusan dari Kabinet terlebih dahulu sebelum pencarian diteruskan semula.
“Kita perlukan masa dan kertas cadangan terperinci dari mereka (Ocean Infinity) barulah kita boleh sediakan kertas Kabinet pada bulan Ogos nanti. Bulan Ogos cadangan ini akan naik di Kabinet untuk dipertimbangkan,” katanya.
Pada 3 Mei lalu, Association For Families of the Passengers and Crew on board MH370 dalam hantaran melalui laman Facebook mendedahkan Ocean Infinity telah menghantar kertas cadangan bagi menghidupkan semula pencarian pesawat itu kepada Anthony.
Syarikat berkenaan antara lain mencadangkan supaya proses pencarian berkenaan dilakukan atas dasar ‘No Find No Fee’ (tiada penemuan tiada bayaran).
Kontrak terdahulu bersama Ocean Infinity bagi pencarian MH370 telah ditamatkan pada 2018.-UTUSAN.











