PETALING JAYA: Inisiatif terselaras oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus syarikat korporat telah membuahkan hasil, lantas mengurangkan tekanan ke atas ringgit.
Bank pusat berkata, BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada ketidaktentuan pasaran kewangan.
“Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit.” katanya dalam kenyataan dasar monentari sempena mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).
BNM berkata, ringgit pada masa ini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.
Katanya, faktor luaran iaitu peralihan jangkaan berhubung dengan haluan dasar monetari di ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan telah menyebabkan ketidaktentuan yang ketara dalam aliran modal dan kadar pertukaran di seluruh rantau ini, termasuk ringgit.
Mengulas mengenai inflasi, bank pusat berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.7 peratus dan 1.8 peratus pada suku pertama tahun 2024.
“Pada masa hadapan, inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.
“Prospek tahun ini bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
“Setelah mengambil kira kesan yang mungkin berlaku berikutan rasionalisasi subsidi, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing diunjurkan berpurata antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN










