PORT DICKSON: Seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi atas tuduhan merogol anak kandungnya sendiri dituduh pula Mahkamah Majistret Port Dickson atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu.
Bagaimanapun, lelaki tempatan berusia 44 tahun tersebut dan isterinya berusia 45 tahun yang turut didakwa atas pertuduhan yang sama, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret,Uthman Abd Ghani.
Berdasarkan pertuduhan, pada 28 April lalu kira-kira pukul 2.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Chuah telah ada dalam milikan mereka dadah berbahaya disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 0.34 gram.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dan memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi laporan kimia.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan bagi mengurangkan wang jaminan.
Majistret kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM3,000 setiap seorang dan tarikh sebutan semula kes pada 11 Julai ini.
Terdahulu, pasangan berkenaan secara bersama telah dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan memiliki dadah berbahaya jenis pil yaba dengan anggaran berat 32.83 gram.
Lelaki itu mengaku salah manakala isterinya tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi
Kesalahan itu dilakukan pada masa, lokasi dan tarikh yang sama dengan kesalahan memiliki dadah jenis syabu.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 a (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A.Aziz kemudian memohon tarikh baharu untuk menunggu laporan kimi dan kes akan disebut semula 4 Julai depan.
Pada 5 Mei lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 20 tahun yang dirogol bapa kandung sejak berusia 12 tahun hingga melahirkan dua orang anak terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis pada 1 Mei lalu.-UTUSAN.










