Bapa rogol anak dipenjara 20 tahun, lima sebatan - Utusan Malaysia

Bapa rogol anak dipenjara 20 tahun, lima sebatan

SEORANG lelaki (dua dari kanan) yang didakwa atas pertuduhan merogol anak kandungnya sendiri serta bersama isterinya dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bapa yang merogol anak sendiri sejak berusia 12 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan melakukan persetubuhan dengan mangsa pada November 2022.

Tertuduh lelaki tempatan berusia 44 tahun itu kelihatan tenang ketika membuat pengakuan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mohamad Kamil berkata, hukuman yang dijatuhkan dalam kes tersebut mengambil kira pertimbangan rayuan tertuduh dan faktor pemberatan yang dihujahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M.Kalaivaanan serta kepentingan awam.

“Kesalahan yang dilakukan adalah serius. Kamu (tertuduh) sebagai bapa yang diamanahkan untuk menjaga anak telah melakukan sebaliknya (merogol).

“Saya juga ambil maklum faktor mangsa yang hanya membuat aduan selepas ibu bapanya ditahan atas kes lain (dadah). Semestinya mangsa berasa tidak selamat berada di rumah sepanjang tempoh tersebut,” katanya pada prosiding kes di sini hari ini.

Jelas Mohamad Kamil, perbuatan tertuduh telah meninggalkan trauma dan kesan psikologi teruk kepada mangsa yang kini berusia 20 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anaknya berusia 18 tahun enam bulan ketika kejadian yang mana perhubungannya dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang dan hukum yang terpakai untuk berkahwin.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Chuah, Port Dickson lebih kurang pukul 6 pagi pada November 2022.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya tanpa menunjukkan rasa sedih atau insaf memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai empat orang anak dan mengalami masalah asma.

“Isteri saya tiada kena mengena dengan hal ini. Isteri saya juga ada sakit kencing manis dan jantung malah anak-anak lain masih kecil,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan polis pada 1 Mei lalu memaklumkan dirinya dirogol tertuduh iaitu bapa kandungnya sendiri sejak berusia 12 tahun hingga 21 April 2024.

Pada Disember 2022, mangsa mengesyaki dirinya telah mengandung selepas tidak datang haid dan telah melahirkan anak di Hospital Port Dickson pada 17 Ogos 2023.

Ibu mangsa telah menyerahkan anak dilahirkan kepada orang lain tanpa pengetahuannya.

Kalaivaanan yang mewakili pihak pendakwaan dalam hujahannya pula berkata, hukuman berat perlu dijatuhkan kepada tertuduh mengambil kira kepentingan awam dan trauma dihadapi mangsa.

“Dalam fakta kes, ini bukan pertama kali mangsa dirogol sehingga melahirkan anak. Hukuman sebat juga perlu sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan terkutuk ini,” katanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan lain di kamar Mahkamah Sesyen berasingan, lelaki tersebut bersama isterinya berusia 45 tahun didakwa telah memiliki dadah disyaki jenis pil yaba pada akhir bulan lalu.

Lelaki itu mengaku salah manakala isterinya tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama-sama didakwa ada dalam milikan mereka dadah berbahaya jenis pil yaba dengan anggaran berat 32.83 gram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Chuah, Port Dickson lebih kurang 2.30 pagi pada 28 April lalu

Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 a (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A.Aziz kemudian memohon tarikh baharu untuk menunggu laporan kimi dan kes akan disebut semula 4 Julai depan.

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 20 tahun yang dirogol bapa kandung sejak berusia 12 tahun hingga melahirkan dua orang anak terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis pada 1 Mei lalu.

Kejadian itu pernah diceritakan kepada ibu mangsa, namun tidak diendahkan walaupun dia telah melahirkan anak.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×